Pemandu teksi Lembah Klang bingung kepada siapa untuk mengadu nasib mengenai masalah berkaitan teksi Uber dan Grabcar yang didakwa menjejaskan pendapatan mereka.

Mereka mendakwa telah merujuk kepada hampir semua pihak berwajib, termasuk Pejabat Perdana Menteri (PMO), namun keadaan tetap tidak berubah.

"Sebelum ini kita sudah buat macam-macam termasuk membawa perkara ini ke Parlimen yang diusulkan oleh MP Shah Alam, Khalid Samad. Tapi sehingga kini masih belum ada apa-apa tindakan dari pihak berkuasa.

“Kita akan bawa perkara ini ke mahkamah," kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang (JBPTLK), Zailani Isa dalam sidang media di Sentul Curry House, Sentul hari ini.

Zailani berkata mereka juga telah menemui pelbagai lagi pihak, termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dan Kementerian Komunikasi Multimedia tetapi mendakwa “ditendang seperti bola ke sana-sini”.

Badan itu kini merancang mengambil jalan terakhir dengan merujuk kepada mahkamah pada hujung November ini.

Pemandu teksi mahukan Uber dan Grabcar diharamkan, termasuk menuntut permit membawa teksi diberikan tanpa menggunakan orang tengah.

Selain itu mereka mahukan rang undang-undang berkaitan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dikaji semula memandangkan mereka tidak mendapat manfaat berkenaan.

“Kita bukan mahu lawan kerajaan.

“Kita cuma mahukan keadilan kepada pemandu teksi, kita mahu bela nasib mereka,” katanya.