Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pro Canselor saran buka UiTM kepada bukan bumiputera
Diterbitkan:  Oct 23, 2015 10:28 AM
Dikemaskini: 2:38 AM

Universiti Teknologi Mara (UiTM) disaran memberi peluang kepada golongan bukan Bumiputera mengikuti pengajian di peringkat tertinggi di universiti berkenaan bagi mengalakkan persaingan.

Pro Canselornya, Tan Sri Dr Arshad Ayub berkata hasrat mewujudkan UiTM bukan sekadar untuk melahirkan 'jaguh kampung' tetapi ingin menampilkan lebih banyak golongan intelektual di persada antarabangsa.

Menurutnya sudah sampai masa untuk cadangan membuka peluang kepada bukan Bumiputera di universiti berkenaan dipertimbangkan memandangkan persaingan semakin mencabar di peringkat antarabangsa.

"Ini mengelak graduan universiti berkenaan sekadar menjadi 'jaguh kampung' dalam dunia yang kini semakin mencabar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan edisi ketiga Persidangan Akademik Antarabangsa (IAC) 2015 di Kuala Terengganu semalam.

Beliau mencadangkan peluang untuk bukan Bumiputera perlu dibuka di peringkat Sarjana (Masters) dan Doktor Falsafah (PhD) dan bukan untuk pengajian peringkat diploma dan ijazah sarjana muda.

"Peluang kepada penuntut bukan Bumiputera melanjutkan pengajian di peringkat Masters dan PhD di UiTM mungkin dalam peratusan yang kecil dan ini akan mendorong pelajar Bumiputera bersaing di peringkat tertinggi," katanya.

"Bagaimanapun ia hanya membabitkan peringkat yang lebih tinggi kerana golongan Bumiputera masih memerlukan peluang dan sokongan di peringkat lebih rendah iaitu diploma dan ijazah selaras dengan dasar penubuhan universiti," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS