Indeks harga pengguna naik 2.6 peratus pada September 2015
Indeks Harga Pengguna (IHP) naik 2.6 peratus kepada 113.6 pada September 2015 berbanding 110.7 yang dicatatkan pada bulan yang sama tahun lepas, demikian menurut Jabatan Perangkaan.
Kenaikan IHP itu didorong peningkatan bagi indeks kumpulan minuman alkohol dan tembakau, pelbagai barangan dan perkhidmatan, kesihatan serta restoran dan hotel, makanan dan minuman bukan alkohol dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah.
Semua enam kumpulan barangan dan perkhidmatan tersebut yang mempunyai wajaran 47.4, menyumbang sebanyak 86.6 peratus kepada kenaikan dalam IHP pada September, kata jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, nilai indeks keseluruhan juga dipengaruhi peningkatan kumpulan komunikasi (3.2 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (2.7 peratus), dan pendidikan (2.5 peratus).
Berbanding dengan bulan sebelumnya, IHP bagi September turun sebanyak 0.3 peratus.
Menurut jabatan itu lagi, daripada 12 kumpulan utama, tujuh kumpulan mencatatkan peningkatan, satu kumpulan mencatatkan penurunan sementara empat kumpulan kumpulan utama lagi kekal tidak berubah.
Antara kumpulan utama yang merekodkan kenaikan pada September ialah pelbagai barangan dan perkhidmatan (1 peratus), kesihatan (0.3 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (0.2 peratus), pakaian dan kasut (0.2 peratus), perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.2 peratus) dan restoran dan hotel (0.2 peratus).
Sebaliknya, kumpulan pengangkutan mencatatkan penurunan indeks sebanyak 2.8 peratus.
Sementara itu, IHP bagi sembilan bulan pertama 2015 juga mencatatkan kenaikan sebanyak 1.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu didorong oleh peningkatan bagi kumpulan utama yang berwajaran tinggi.
Indeks makanan dan minuman bukan alkohol (3.4 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (2.4 peratus).
Kenaikan lain ialah minuman alkohol dan tembakau (11.5 peratus), kesihatan (4.4 peratus), restoran dan hotel (4 peratus) and pelbagai barang dan perkhidmatan (3.6 peratus).
Sebaliknya, penurunan indeks dicatatkan bagi kumpulan pengangkutan sebanyak 4.1 peratus.
- Bernama

