200 warga emas lewat terima bayaran
Lebih 200 warga emas berusia lebih 60 tahun tidak menerima bayaran bulanan daripada Jabatan Kebajikan Daerah Petaling di Subang Jaya berikutan kelewatan proses pembayaran oleh kerajaan negeri.
Lebih 200 warga emas berusia lebih 60 tahun tidak menerima bayaran bulanan daripada Jabatan Kebajikan Daerah Petaling di Subang Jaya berikutan kelewatan proses pembayaran oleh kerajaan negeri.
"Kami tidak pasti bilakah cek bayaran itu akan diterima tetapi akan membuat pembayaran sebaik sahaja kami menerimanya," kata pegawai jabatan tersebut, Mohamad Fazari Salleh ketika dihubungi.
Tidak dapat dipastikan sama ada masalah yang sama turut berlaku di daerah-daerah lain.
Mohamad Hazari memberitahu demikian ketika diminta mengulas aduan yang diterima daripada seorang penerima Skim Bantuan Orang Tua yang mendakwa beliau tidak menerima bayaran sejak Oktober lalu.
K Christamby @ Manickam, 66 (foto), telah mendaftar dengan jabatan berkenaan untuk mendapatkan bantuan kebajikan April lalu dan mula menerimanya mulai bulan Julai. Bagaimanapun, bayaran sejumlah RM135 sebulan itu, terhenti Oktober lalu.
Kad kebajikannya mencatatkan rekod pembayaran dibuat sebulan lebih awal di antara bulan Julai dan September.
Ketika ditanya mengenai perkara tersebut, Mohamad Hazari berkata baucer bayaran biasanya dihantar kepada akauntan kerajaan negeri untuk kelulusan sebelum dipulangkan semula kepada jabatannya.
"Oleh kerana kami tidak mendapat cek bayaran pada bulan yang sama, jadi kami membuat pembayaran sebulan lebih awal," katanya.
Tiada duit pengangkutan
Walaupun jadual tarikh pembayaran ialah pada 5 November, Christamby berkata beliau telah diminta datang semula ke jabatan tersebut di Subang Jaya dua hari kemudiannya, dan seterusnya diminta datang lagi dua hari berikutnya.
"Saya terpaksa menaiki dua bas untuk ke sana. Atau saya menaiki teksi yang tambangnya RM10 untuk satu perjalanan," katanya ketika ditemui dekat rumahnya di Ladang Ladang Glenmarie, Shah Alam, semalam.
Masalah yang dihadapinya itu diberitahu oleh ahli jawatankuasa bertindak penduduk Kampung Saujana S Natchymuthu yang kebetulan bertemu Christamby ketika berurusan di pejabat yang sama.
"Adalah sukar untuk saya berulang alik ke sana semata-mata untuk mendapatkan cek bayaran, sedangkan saya sendiri tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk ke sana," katanya.
Walaupun beliau sering berusaha untuk menelefon pejabat berkenaan terlebih dahulu tetapi biasanya dia tidak dapat berbuat demikian kerana talian di pejabat itu selalu digunakan.
Sewaktu kali terakhir beliau ke sana sebelum Deepavali, Christamby mendakwa seorang pegawai di situ memberitahunya yang duit belum sampai dan dia terpaksa datang semula selepas cuti hari raya.
"Seorang lagi pegawai meminta saya supaya memeriksa semula minggu depan. Dia memberi saya RM10 dan menyuruh saya pulang," katanya.
Manakala jirannya, kata Christamby, menerima bayaran RM120 yang dibayar sebanyak dua kali.
"Dia mula-mulanya dibayar RM40 dan kemudiannya diminta datang mendapatkan bakinya RM120 bersama bayaran penuh sebanyak RM160 bagi bulan berikutnya.
"Katanya, pegawai kebajikan berkenaan sombong dan berkeras untuk membayar dalam jumlah yang kecil," tambahnya.
Christamby bekerja menoreh getah selama 20 tahunan sebelum bekerja sebagai mandur untuk 20 tahun berikutnya. Lima orang anak perempuannya mengikut suami mereka. Yang tinggal hanyalah beliau bersama isteri dan anak lelaki tunggal mereka.
RM20 juta untuk 13,000 penerima
Skim tersebut adalah untuk warga emas yang tinggal seorang diri, mereka yang tidak mempunyai sebarang anak atau tidak dipedulikan oleh anak-anak mereka, atau mereka yang tinggal bersama bukan keluarga sendiri.
Selain skim itu, jabatan kebajikan masyarakat juga menyediakan bantuan kewangan kepada anak-anak miskin, pekerja yang cacat, mangsa banjir dan bantuan am.
Pada tahun 2003, jabatan kebajikan masyarakat telah membelanjakan RM20 juta kepada 13,000 penerima Skim Bantuan Orang Tua di seluruh negara.
Sementara itu, Natchymuthu berkata sejumlah 48 keluarga telah memohon gantirugi pada bulan Mei lalu selepas dilanda banjir besar melanda kampung itu yang terletak berhampiran Sungai Damansara.
"Hanya 24 keluarga telah menerima gantirugi itu setakat ini, dengan masing-masing mendapat RM200 sedangkan ada antara mereka yang kerugian beribu-ribu ringgit," katanya.
"Kerana masalah teknikal berhubung pemilikan rumah terbabit, baki 24 keluarga lagi telah diminta membuat laporan polis dan mengemukakan semula permohonan mereka. Sehingga sekarang, kami masih menunggu bayaran gantirugi itu," katanya.
Beliau mendakwa, ketika berada di pejabat kebajikan tersebut, dia terlihat pegawai yang membuat pembayaran mengambil wang itu dari poketnya sendiri.
Sambil melahirkan rasa terperanjatnya dengan apa yang dilihatnya itu, Natchymuthu berkata: "Sepatutnya wang kerajaan disimpan di tempat lain, dan bukannya di dalam poket kakitangannya?"
"Malah, kami diberitahu supaya menyediakan kemah dan mengadakan majlis untuk pemimpin politik tempatan dan Ahli Dewan Undangan Negeri, siap dengan liputan media.
"Bagaimanapun kami mampu membelanjakan wang yang banyak untuk melayan ahli politik dan VIP," katanya.
Adun Seri Setia, Seripah Noli Syed Ibrahim dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, tidak dapat dihubungi untuk mengulas dakwaan tersebut.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.