Peneroka Felda Sendayan tidak akan berputus asa dalam usaha mereka untuk mendesak kerajaan Negeri Sembilan memulangkan semula geran hakmilik tanah mereka di situ yang gagal dimajukan sebagai kawasan perindustrian.

Hakimilik tanah mereka diambil oleh kerajaan negeri pada pertengahan tahun 1990-an supaya dimajukan oleh syarikat swasta sebagai projek perindustrian.

Ketika itu, ramai antara mereka yang menjadi jutawan segera selepas tanah mereka dijual kepada konsortium yang dipertanggungjawab memajukan kawasan tersebut pada harga tinggi.

Bagaimanapun, berikutan beberapa masalah projek itu gagal dan terbengkalai, maka tidak kesemua tanah di Felda Sendayan yang sempat dimajukan. Berikutan itu, pengurusannya diambilalih oleh kerajaan negeri.

Kerajaan negeri memegang geran hakmilik dengan alasan Felda telah menyerahkan penguasaan kawasan tersebut kepada pihaknya.

Namun begitu, peneroka yang tanah mereka belum terjual mahukan geran tersebut diserah kembali kepada mereka, tetapi selepas pelbagai usaha dibuat, kerajaan belum berbuat demikian.

Keselamatan

Berikutan tiadanya hakmilik tersebut, peneroka terbabit tidak dapat berbuat apa-apa apabila tiga lombong pasir dibenarkan oleh kerajaan negeri beroperasi di situ.

Seorang peneroka, Badrul Hisham Sahrin berkata lombong tersebut bukan sahaja beroperasi di tanah milik mereka, tetapi kehadirannya juga membahayakan keselamatan anak-anak mereka.

Lombong pasir terbaru mula beroperasi awal tahun ini dan terletak hanya 500 meter dari kawasan perumahan mereka. Dua lombong pasir lagi beroperasi di Felda Sendayan beberapa tahun lalu.

Beliau mendakwa pembukaan lombong pasir baru ini menimbulkan tandatanya kepada penduduk.

"Menteri Besar, Datuk Mohamad Hassan kata operasi lombong ini mendapat kelulusan kerajaan negeri, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kata tidak. Apa yang pasti, lombong tersebut membahayakan penduduk terutama kanak-kanak.

"Di Felda Sendayan ini ramai kanak-kanak. Mereka bermain di sekitar lombong dan lambat laun dikhuatiri ada yang terjatuh ke dalam lombong itu," katanya.

Jumpa Menteri Besar

Badrul Hisham berkata, ini kerana pihak pengurusan lombong itu sukar untuk menghalang kanak-kanak daripada mendekati kawasan tersebut.

Wakil peneroka Felda Sendayan pernah menemui Menteri Besar untuk meminta beliau menyelesaikan masalah tersebut tetapi beliau tidak melakukan apa-apa.

Pengurusan Felda pula memberikan alasan Felda Sendayan sudah diambilalih oleh kerajaan negeri.

Menurut Badrul Hisham lagi, wakil peneroka juga berusaha mendapatkan pertolongan dari beberapa ahli Parlimen tetapi sehingga hari ini keadaannya tetap sama.

"Kerajaan negeri berjanji untuk memberi balik geran tersebut tetapi nampaknya geran tanah itu dijadikan senjata oleh pemerintah setiap kali berlaku pilihanraya.

"Dalam pilihanraya umum 2004 lalu, pemimpin Umno berjanji memberikan semula peneroka geran tanah tersebut, tetapi hingga hari ini belum ditunaikan janji," katanya lagi.

Bahan toksid

Berikutan itu juga, peneroka mengambil sikap menunggu dan tidak berani membantah sebarang arahan kerajaan negeri, termasuklah dalam isu pembinaan lombong pasir tersebut.

"Lebih memilukan ramai peneroka asal yang telah mati dan kini anaknya yang menuntut geran tanah tersebut. Cuma kita bimbang anaknya juga tidak dapat dan akhirnya geran hak milik lesap entah ke mana," ujarnya.

Sebelum ini, katanya, sebuah syarikat swasta, telah menjadikan satu kawasan yang berdekatan dengan Felda Sendayan ini sebagai tempat pembuangan bahan toksid yang terletak tidak sampai tiga kilometer dari kawasan penempatan penduduk.

Malah, katanya, bahan buangan toksid dari beberapa negara Asia Tenggara juga dibuang di sini menjadikan kawasan Felda Sendayan diselubungi asap tebal yang berwarna kekuningan apabila hujan lebat.

"Bila penduduk memprotes, pengurusan kilang memberikan pelbagai janji untuk mengatasi masalah tersebut tetapi semuanya adalah pembohongan," katanya sambil menambah kilang pembuangan bahan toksid itu mula beroperasi pada pertengahan tahun 1990-an lagi.

Kerajaan negeri pula apabila diajukan tentang masalah inti hanya mendiamkan diri, kata Badrul Hisham lagi.

"Ketika Isa menjadi Menteri Besar beliau berjanji untuk mengatasinya tetapi janji tinggal janji. Kini giliran Mohamad Hassan pula. Tetapi setakat ini beliau pun sama dengan Isa," katanya lagi.