Sebuah akhbar tabloid berbahasa Inggeris di Sarawak Malaysian Today yang berada di pasaran sejak empat lalu, akan menghentikan operasinya di negeri selepas 31 Disember ini.

Pemiliknya belum lagi membuat pengumuman rasmi mengenainya tetapi 75 pekerjanya telah dimaklumkan Jumaat lalu bahawa operasi akhbar itu akan berpindah ke Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, kemungkinan ia akan terus diterbitkan sebagai akhbar harian. Manakala menurut sumber-sumber, ia mungkin diterbitkan dalam bentuk majalah, dengan tumpuan khas kepada bidang sukan.

Malaysian Today yang mempunyai pengedaran kecil, iaitu beberapa ribu naskah sahaja dikaitkan dengan ahli perniagaan, Datuk Sng Chee Hua yang juga seorang ahli politik.

Para kakitangannya telah diberitahu mengenai penutupan operasi akhbar itu oleh anak perempuan Sng, yang juga pengerusi syarikat berkenaan, Jessie.

Beliau mengambilalih jawatan itu dari abangnya, Larry Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Pelagus selepas beliau dilantik menjadi Pembantu Menteri di Pejabat Ketua Menteri, baru-baru ini

Pertimbangan politik

Seorang kakitangan bahagian pengarang berkata keputusan itu mungkin hanya baru dibuat kerana tidak seorangpun daripada mereka yang mengetahui mengenainya.

Sumber yang rapat dengan akhbar tersebut, pula berkata keputusan untuk menamat operasinya mungkin disebabkan oleh masalah kewangan.

Katanya, ia adalah pertimbangan politik untuk Malaysian Today , kerana akhbar itu sudah tidak diperlukan lagi.

Difahamkan kakitangan akhbar tersebut telah ditawarkan bayaran pampasan iaitu 15 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan mereka.

"Tentunya kami tidak setuju dengan tawaran tersebut. Kami tidak mempertikaikan hak syarikat untuk menghentikan operasi. Tetapi kami akan menerima, sepertimana amalan biasa, di mana pihak syarikat membayar sekurang-kurangnya sebulan gaji bagi setiap tahun perkhidmatan," kata seorang daripada mereka.

Jurucakap Masing

Juga difahamkan bahawa pemilik akhbar itu telah menawarkan kepada beberapa kakitanganya untuk dipindahkan bertugas di Kuala Lumpur.

Malaysian Today telah menjadi jurucakap kepada puak yang penyokong Dr James Masing sewaktu berlaku perebutan kuasa dalam Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) baru-baru ini. Sng merupakan timbalan Masing dalam kumpulan tersebut.

Selepas pendaftaran PBDS dibatalkan dan pendaftaran Parti Rakyat Sarawak (PRS), yang buat sementara ini diketuai oleh penyokong kuat Sng Sidi Munan dan perlantikan anaknya sebagai pembantu menteri maka tidak ada keperluan lagi bagi Sng untuk memiliki akhbar di negeri ini.

Tanpa Malaysian Today di Sarawak, kini tinggal hanya ada dua akhbar harian berbahasa Inggeris Sarawak Tribune milik syarikat yang mempunyai hubungan rapat dengan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan The Borneo Post .