Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Shahidan Kassim memberi jaminan bahawa tidak ada komplot dalaman parti bagi menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan presiden.

"Sebagai ahli Majlis Tertinggi dan Ketua Umno Perlis, saya tidak pernah dengar ada komplot atau gerakan untuk menjatuhkan timbalan presiden," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Ketua Umno bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos mengesahkan wujud gerakan untuk menyingkirkan Muhyiddin.

Shahidan berkata jika Jamal mempunyai bukti, beliau harus mengemukakannya kepada Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

"Umno bukan parti samseng, tetapi parti yang sentiasa mengamalkan cara Islam," katanya.

Katanya, perkara itu tidak akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno akan datang yang telah ditunda ke tarikh lain.

Ditanya sama ada mesyuarat itu ditunda kerana Umno khuatir dengan apa yang mungkin diluahkan lagi oleh Muhyiddin, Shahidan menafikannya.

"Tidak Kami menyokong penuh kepimpinan parti semasa," katanya.

Sejak akhir-akhir ini, Muhyiddin dilaporkan semakin lantang dan menggesa ahli dan pemimpin Umno supaya tidak menjadi pengecut kerana tidak berani bercakap mengenai isu-isu penting.

Beliau adalah bekas timbalan perdana menteri, tetapi dipecat selepas lantang membidas syarikat pelaburan negara 1MDB yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang kini sarat hutang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS