Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Saya merujuk kenyataan Menteri Kesihatan Datuk S Subramaniam semalam dimana Kementerian Kesihatan mahu menambah baik akta sedia ada untuk mengharamkan penggunaan alat vapor di Malaysia. Kami mengecam langkah tersebut.

Mengapa perlu diharamkan penggunaan vapor? Kerajaan patut tahu, banyak negara Eropah telah meluluskan dan menggalakkan penggunaan vapor ini.

Kerajaan boleh merujuk kenyataan media Agensi Kesihatan Awam England (PHE) yang menyebut penggunaan vapor diluluskan kerana kajian mereka mendapati penggunaan vapor adalah 95% lebih selamat dari rokok biasa.

Jadi apa lagi alasan kerajaan Malaysia untuk mengharamkan vapor ini?

Majoriti pengusaha vapor di Malaysia adalah dalam kalangan kaum bumiputera. Kerajaan tidak seharusnya menimbulkan kekacauan seperti ini.

Mengapa rokok tembakau yang jelas dan nyata membahayakan kesihatan tidak diharamkan? Adakah kerana hasil penjualan vapor ini tidak memberi manfaat kepada kerajaan untuk mengutip cukai?

Jangan berat sebelah. Kerajaan sanggup luluskan rokok tembakau kerana bercukai tetapi mengharamkan vapor yang bebas cukai.

Saya menganggap tindakan seperti ini adalah tidak profesional. Sebagai seorang menteri kesihatan, beliau sepatutnya tahu beza implikasi baik dan buruk antara vapor dan rokok tembakau.

Jika benar kerajaan mahu haramkan vapor, saya memberi saranan kepada kementerian kesihatan agar mengharamkan juga pengeluaran rokok tembakau.

Saya percaya tindakan ini sukar untuk dilaksanakan kerana umum mengetahui rokok tembakau merupakan salah satu penyumbang cukai yang tinggi kepada negara.

Vapor ini juga merupakan salah satu kaedah untuk berhenti merokok. Kewujudan vapor di Malaysia sudah lama. Mengapa kerajaan tidak menyarankan perokok bertukar kepada vapor?

Mengapa vapor hanya dikatakan berbahaya apabila industri ini berkembang luas? Adakah vapor bahaya kerana tidak dikenakan cukai? Adakah jika selepas dikenakan cukai, vapor ini selamat digunakan?

Banyak cara boleh difikirkan selain mengharamkan vapor ini. Saya juga ingin sarankan pada kementerian kesihatan agar fokus sahaja dengan kempen berhenti merokok.

Tak perlulah ganggu dan campur tangan dalam isu ini. Vapor sebenarnya telah membantu kementerian dalam kempen mereka sebenarnya.

Wira PERKASA memandang serius perkara ini. Kami mahu Kementerian Kesihatan membuat kajian secara total sebelum mengambil sebarang tindakan dan tidak hanya bertindak melulu dalam membuat sebarang keputusan.


IRWAN FAHMI IDERIS ketua Wira PERKASA Malaysia


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS