Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) berpendapat, kerajaan perlu menerapkan nilai-nilai pembangunan insan dalam bajet yang akan datang.

Menurut presidennya Datuk Syed Ali Alattas, penerapan itu penting bagi memastikan ekonomi negara ini tidak hanya dipengaruhi oleh Barat.

"Kita belajar tentang ekonomi pun mengikut Barat. Kita patut ubah set minda kita. Apa kita mahu ialah kualiti pembangunan insan, minda, hati.

"Ini yang tak disentuh dalam bajet. Kita sekarang diperangkap dan diatur oleh Barat.

"Jadi dalam bajet akan datang, DMPP berpandangan kualiti pembangunan nilai insan dan minda dimasukkan. Kita kena ada maruah bangsa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di sebuah hotel di ibu negara hari ini.

Selain itu, Syed Ali turut melahirkan rasa kurang senangnya apabila melihat sebahagian daripada rakyat negara ini masih miskin sedangkan Malaysia adalah negara yang kaya dengan pelbagai hasil bumi.

"Inilah masalahnya. Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya tetapi rakyatnya miskin. Kadang-kala kita lupa tentang hasil yang ada.

"(Tetapi) apa yang penting kita kena tentukan sumber manusia kita. Ini penting," katanya sambil memberikan contoh tentang kekayaan sumber hutan di negara yang kurang dikembangkan.

Selain itu, Syed Ali turut menyentuh mengenai generasi kini yang dilihat tidak produktif dan malas berfikir.

Katanya, perkara itu akan memberi impak yang tidak bagus kepada negara.

"Masalah sekarang juga ialah kita tidak produktif dan tidak berfikir. Kita sibuk hisap rokok, minum arak dan rasuah. Kalau berterusan begini kita akan hadapi masalah," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS