Apakah penubuhan negara Islam satu Rukun Aqidah
Sejak dibebaskan, Anwar Ibrahim menjadi 'orang tengah' untuk memulihkan kerjasama antara PAS dan DAP yang terjejas kerana isu negara Islam. Tetapi, dalam bahagian kedua wawancara ini, Anwar memberitahu malaysiakini, bahawa ianya bukan satu tugas mudah.
Sejak dibebaskan, Anwar Ibrahim menjadi 'orang tengah' untuk memulihkan kerjasama antara PAS dan DAP yang terjejas kerana isu negara Islam. Tetapi, dalam bahagian kedua wawancara ini, Anwar memberitahu malaysiakini, bahawa ianya bukan satu tugas mudah.
Ramai menaruh harapan terhadap Datuk Seri untuk menyelesaikan perbezaan pandangan antara PAS dan DAP mengenai isu-isu panas, seperti isu negara Islam. Bagaimanakah Datuk Seri mahu melakukannya.
Saya sudah letih bercakap mengenai isu ini (negara Islam)(ketawa) tetapi saya memberitahu Ketua Pembangkang Lim Kit Siang bahawa tidak sepertimana tanggapannya dan juga tanggapan umum, perbincangan saya dengan pemimpin PAS, Ustaz (Abdul) Hadi (Awang) dan Ustaz Haron Din telah membuahkan hasil yang positif.
Saya berterus terang kepada mereka. Saya tanya mereka, 'Adakah anda serius mahukan saya membantu dan mereka menjawab, 'ya'. Saya bertanya lagi, 'Adakah anda percaya dan yakin bahawa anda memerlukan pembangkang yang bersatu dan mereka berkata 'ya'. Jadi saya memberitahu mereka, bahawa itulah yang perlu kita lakukan (untuk mencapainya).
Apakah ada perancangan untuk membawa kedua-dua parti itu untuk duduk semeja?
Saya rasa hanya di peringkat akhir nanti apabila sesetengah isu yang menimbul perbalahan itu dapat diselesaikan. Pada pandangan umum, PAS dilihat tidak mahu bertolak ansur berhubung isu-isu utama dan isu-isu yang menjadi masalah, seperti isu negara Islam. Saya tidak fikir tanggapan itu benar. Tetapi saya tidak pula mengatakan ianya sukar (diselesaikan).
Saya rasa pemimpin PAS merasakan yang mereka tidak harus diberi 'kata-dua' kerana mereka telahpun bercakap mengenai isu ini (negara Islam) sejak 50 tahun lalu. Pada pandangan saya, (masalah berlaku) berpunca daripada pihak media (yang memain isu itu) dan cara PAS menyuarakannya, yang telah menimbulkan keresahan (sesetengah rakyat Malaysia).
Pada saya, ia (negara Islam) bukanlah satu isu utama. Tentulah PAS dan DAP tidak akan bersetuju dengan (pandangan) saya dalam perkara tersebut. Saya kata bukan isu besar kerana itulah juga pendirian (PAS) apabila mereka berada dalam BN. Dan ianya tidak menjadi isu ketika itu.
Jika anda membaca sesetengah ucapan presiden PAS ketika mereka masih bersama BN, mereka berkata, ' 'Kita akan bina negara Islam...' dan begitulah seterusnya ucapan mereka. Retorik itu sudahpun diperkatakan sejak dahulu lagi. Tetapi (ketika itu) ia tidak mendapat perhatian media. Malah, DAP ketika itupun, tidak juga menjadikannya satu isu besar. Tetapi sekarang, tentunya ia berbeza (dari dahulu).
Saya tidak mengatakan ia bukan satu isu, tetapi saya merasakan dari segi substantif dan faktanya, ia (tidak sepatutnya) menjadi isu yang menimbul perbalahan. Sedangkan politik itu sendiri adalah mengenai persepsi. Jadi saya perlu mengendalikannya dan ia agak sukar sedikit. Saya boleh memberitahu mereka bahawa ketika PAS dalam BN, parti itu sudahpun bercakap mengenai perkara yang sama, tetapi dasar-dasar BN masih kekal. Jadi mengapa mesti ada pihak yang bertanggapan jika parti itu (PAS) berada dalam BA bersama DAP, dasar-dasarnya tidak boleh kekal.
Dan apakah pandangan Datuk Seri mengenai negara Islam...
Jika orang bertanya saya mengenainya, saya akan kata, jangan tanya saya mengenai negara Islam, tanya saya mengenai agenda BA kerana saya komited kepada agenda BA. Begitu juga halnya jika anda bertanya kepada saya mengenai dasar-dasar DAP, saya tidak bersedia (menjawab) kerana DAP mempunyai terlalu banyak dasar, sesetengahnya saya setuju dan ada yang saya tidak bersetuju. Begitu juga dengan PAS. Tetapi kita boleh bekerjasama dalam agenda bersama agenda BA. Itulah yang sebenarnya dimaksud sebagai pakatan.
Ramai orang yang mahu tahu (pendirian saya mengenai negara Islam). Seperti (yang berlaku semasa) dialog saya dengan Majlis Peguam Malaysia sebelum ini. Saya ditanya berulangkali sama ada saya bersetuju atau tidak bersetuju mengenai negara Islam. Dan jawapan saya ialah, 'Apa yang anda maksudkan dengan negara Islam? Jika pada anda, negara Islam itu bermaksud (wujud) demokrasi, (mengikut) rangka Perlembagaan (Negara) dan keadilan, jadi ada (undang-undang) syariah, tetapi hanya dalam halehwal peribadi dan keluarga. Tetapi jika ia meliputi atau menceroboh ke dalam Kanun Prosidur Jenayah, maka anda perlu mendapatkan konsensus (sebelum melaksanakannya)...
Kemudian mereka bertanya lagi kepada saya,'Adalah anda bersetuju dengan hudud?' Dan saya kata sebagai seorang Islam, saya mempercayai al-Quran dan oleh itu saya percaya (kepada hudud). Tetapi (kemudian mereka bertanya lagi) adalah anda berpendapat ia boleh dilaksanakan sekarang, saya kata, saya rasa tidak (boleh dilaksanakan). (Mereka juga bertanya kepada saya) adakah anda mahu melaksanakannya(pada masa depan) dan saya berkata, saya belum berkeyakinan sepenuhnya yang saya mampu melaksanakannya, jadi mengapa anda mahu bertanya sama ada saya mahu melaksanakannya atau tidak boleh melaksanakannya. Tetapi mereka kemudiannya berkata, itulah adalah satu jawapan politik!
Saya memberitahu mereka, 'Okay, saya boleh (memberi jawapan yang) memuaskan hati anda atau hadirin yang bersifat liberal, tetapi bagaimana saya hendak berdepan dan menjelaskannya kepada orang kampung? Anda juga perlu fikir mengenai mereka. Tetapi (kalau) untuk pergi ke masjid seperti di Permatang Pauh dan memberitahu mereka yang kami akan terus memperjuangkan agenda pembaharuan mengikut konsensus yang terkandung dalam Perlembagaan Negara dan mereka memahaminya Jika saya dapat melakukannya, itu boleh dianggap satu satu kejayaan.
Apakah PAS dan DAP dapat berdamai semula?
Ia akan mengambil masa. Masalahnya ialah (pada masa ini) belum wujud rasa saling mempercayai (antara satu sama lain) yang mana kita perlu usahakan. Ini bukan mudah kerana terdapat perwatakan-perwatakan keras anda ada (Presiden PAS Abdul) Hadi (Awang) and (pemimpin DAP) Kit Siang dan Karpal (Singh).
Seperti dalam kes (pemilihan) Speaker (Dewan Rakyat). Saya telah membuat kenyataan tidak bersetuju dengan cara BA mengendalikan perkara tersebut, malah (saya) berbahas secara terbuka dengan Azizah (isterinya dan presiden Parti Keadilan) semalam dalam perjumpaan dengan kira-kira 70-80 anggota reformasi. Tentulah, pendapatan Azizah ialah mereka (DAP) tidak langsung membincangkan (perkara itu) dengan kami (untuk mencalonkan Tan Seng Giaw sebagai calon Speaker). Tetapi saya kata, takkanlah kerana mereka tidak membincangkan perkara itu dengan kamu, ia bermakna kamu patut menyokong calonnya yang rasuah (calon BN Tan Sri Ramli Ngah Talib).
Tetapi saya rasa saya sedikit terkasar dengan beliau semalam (ketawa). Bagaimanapun, saya terpegun kerana inilah kali pertama beliau mempertahankan pendiriannya dan secara terbuka pula, yang mana tidak pernah dilakukannya sejak kami berkahwin. Masa sudah berubah (ketawa).
Sesetengah analisis politik berpendapat PAS kalah teruk dalam pilihanraya kerana isu negara Islam dan hukum hudud. Apakah Datuk Seri merasakan parti itu perlu mengubah fokusnya?
Rangkakerja politiknya sudah wujud di dalam 'agenda pembaharuan' pada tahun 1999. Mengapa tidak PAS mengembangkan rangkakerja ini? Saya memberitahu PAS kesemua ramuan dalam sesebuah negara Islam yang ia hendak gabungkan, boleh dibuat melalui rangkakerja tersebut...seperti hak asasi manusia, maruah manusia, keadilan ekonomi, membanteras rasuah dan maksiat. Tetapi ramuan yang agak sukar seperti hukum hudud dan yang seumpamanya, di mana konsensus diperlukan, maka kita tangguh dahulu dan kita bincang mengenainya. Inilah politik, anda tidak boleh memasukkan kesemua agenda ke dalam satu rangkakerja.
Begitu juga dengan DAP. Janganlah mengharapkan PAS akan menarikbalik pandangan mereka mengenai negara Islam. Saya tidak boleh mengharapkan mereka berbuat demikian dan saya juga tidak menasihatkan mereka supaya menarikbalik pendirian mereka itu. Saya rasa ianya agak keterlaluan kerana ramai umat Islam melihatnya sebagai rukun aqidah. Terdapat garis samar dan berbahaya (mengenai apa yang boleh diterima atau ditolak). Jika anda bercakap, misalnya jawapan saya terhadap isu tersebut di majlis dialog Majlis Peguam, saya rasa sesetengah fundamentalis Islam akan menolak (jawapan) saya, kerana wujudkan kesamaran itu.
Walaupun pada saya, negara Islam, sebagaimana ianya, bukanlah satu rukun aqidah (article of faith) tetapi al-Quran adalah rukun akidah! Jadi bagaimana anda hendak membuat garis (pemisah antaranya)? Tetapi anda percaya kepada al-Quran, anda percaya kepada hukumNya. Habis, bagaimana anda hendak laksanakan undang-undang jika anda bukan sebahagian daripada kerajaan? Jadi beginilah bagaimana politik bercampuraduk dengan agama.
Tetapi jika anda tidak boleh melaksanakan tiga atau empat daripada peruntukan itu, adakah itu bermakna anda gagal sebagai seorang Islam? Jawapan saya ialah 'tidak' kerana dalam kehidupan harian pun, anda tidak mampu memenuhi semua aspirasi dan melakukan apa yang terbaik untuk diri anda.
Jika anda bertanya kepada saya sama ada saya yakin (kepada undang-undang Islam), jawapan saya ialah 'ya'. Tetapi jika anda bertanya kepada saya mengenai negara Islam, maka saya perlu bertanya kepada anda sama ada saya percaya atau tidak bergantung kepada apa yang anda maksudkan dengan negara Islam. Negara Islam adalah satu istilah yang sudah terlalu kerap disalahgunakan. Dan (jika) anda bertanya kepada bijakpandai Islam, interpretasi mereka juga berbeza. Jadi mengapa anda berkeras mahukan kami menggunakan label tersebut?
Dan jika saya boleh memujuk DAP, saya boleh kata, "Buat masa ini, kurangkan bercakap menentang (negara Islam) kerana ianya dilihat oleh ramai umat Islam sebagai (kenyataan) anti-Islam. (Tetapi itupun tidak betul, kerana Kit Siang berkata 'tidak' dan Karpal kata beliau (juga) bukan anti-Islam. Mereka adalah ahli politik yang berpengalaman mereka tahu politik adalah mengenai persepsi.
Terdapat NGO Islam yang mendakwa tidak terbabit dalam politik dan hanya mahu berdakwah. Apa pendapat Datuk Seri mengenainya?
Mereka mahu mencari jalan selamat. Pada masa ianya OK. Tetapi saya tidak fikir mana-mana NGO Islam atau bukan Islam, boleh berkata yang mereka bebas daripada politik. Seperti malaysiakini, contohnya, tidak boleh berkata yang ia hanya sebuah pertubuhan media dan bebas daripada politik. Politik adalah sebahagian daripada kehidupan kita. Kita boleh berkata fokus mereka ialah pada dakwah, kita cuba mengurangkan ketegangan politik kita, dan tidak bersekutu dengan mana-mana parti politik. Itu OK.
Tetapi saya tidak boleh menerima pendirian sesetengah rakan lama saya, contohnya Abim (Angkatan Beliau Islam Malaysia), yang cuba meyakin saya bahawa mereka bebasa daripada politik. Saya memberitahu mereka, ia tidak dapat dipertahankan mengikut tanggapan Islam kerana jika anda bercakap mengenai 'yang terbaik', anda bercakap mengenai sebuah masyarakat yang anggotanya yang bermoral tinggi yang bermakna tidak berlaku rasuah.
Apa maksudnya tiada rasuah? Ia bermakna anda tidak boleh bertolak ansur dengan rasuah. Jadi bagaimana anda hendak melakukannya? Melalui pendidikan, tarbiyyah (latihan) dan rangkakerja perundangan. Bagaimana hendak mewujudkan rangkakerja perundangan ini? Anda perlu menjadi Ahli Parlimen untuk melakukannya. Jika anda tidak terpilih sebagai Ahli Parlimen, tetapi anda mahu mempengaruhi mereka, itu sudah politik. Saya memberitahu mereka perkara itu ketika kami bertemu baru-baru ini.
Apakah reaksi mereka?
Tiga daripada mereka yang pernah berurusan dengan beliau (Dr Mahathir) berdiam diri tetapi pemimpin-pemimpin muda nampak bersetuju. Ini menjanjikan masa depan yang cerah...

