Tetap gaji lebih anjal untuk OKU
ULASAN Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) mengalu-alukan kenaikan gaji minimum seperti yang yang diumumkan dalam Bajet 2016.
Namun, KPRU berpendapat bahawa sistem gaji minimum yang sedia ada ini tidak mampu melindungi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) atau juga dikenali sebagai Orang Kelainan Upaya.
Ini kerana warga OKU tidak mampu bersaing dengan pekerja bukan OKU dalam bidang pekerjaan dengan peluang dan tangga gaji yang samadi mana gaji minimum yang sama ditawarkan kepada semua.
Hal ini warga OKU sukar mendapat pekerjaan. Oleh itu KPRU berpendapat bahawa sistem gaji minimum harus dilonggarkan atau lebih fleksibel untuk menggalakkan pihak majikan memberi lebih peluang pekerjaan kepada OKU.
Meninjau realiti dunia pekerjaaan di negara kita, dengan gaji yang sama, sekiranya seorang pekerja bukan OKU dan seorang pekerja OKU memohon jawatan yang sama, kebarangkalian lebih tinggi bahawa majikan akan memilih untuk mengupah pemohon bukan OKU.
Ini kerana, kekurangan upayanya dianggap menjejaskan prestasi atau hasil kerjanya.
Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan Bajet 2016 mengumumkan bahawa OKU yang bekerja akan mendapat bantuan bulanan sebanyak RM350, manakala OKU yang tidak bekerja akan mendapat RM200.
KPRU ingin menegaskan bahawa, bagi OKU yang menganggur, bantuan bulanan RM200 adalah tidak cukup untuk keperluan mereka. Oleh itu mereka tetap perlu dibiayai oleh keluarga mereka atau apa-apa pendermaan yang diberi kepada mereka.
KPRU mencadangkan supaya Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) mempertimbangkan sistem gaji minimum di negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Australia.
Di Amerika Syarikat, gaji minimum lazimnya ialah USD7.25 setiap jam, namun masih terdapat beberapa pengecualian yang tertentu.
Antaranya, upah golongan OKU dikecualikan sepenuhnya daripada gaji minimum yang ditetapkan, asalkan pihak majikan mendapat keizinan daripada Jabatan Tenaga Kerja (Department of Labor) untuk berbuat demikian.
Dengan ini, pihak majikan boleh membayar gaji yang lebih rendah untuk pekerja OKU, justeru lebih peluang pekerjaan diberikan kepada pekerja OKU.
Bagi Australia pula, gaji minimum ditetapkan pada kadar AUD 17.29 setiap jam, namun terdapat juga beberapa pengecualian yang tertentu.
Seseorang yang bekerja 38 jam seminggu mendapat sekurang-kurangnya AUD 656.90 setiap minggu (sebelum pemotongan cukai). Namun seseorang pekerja OKU boleh mendapat gaji minimum AUD 81 seminggu di bawah Supported Wage System.
Di bawah Supported Wage System Australia, penggajian seseorang pekerja OKU adalah berdasarkan penilaian keupayaan kerja yang wajib dijalankan terhadap mereka.
Dengan itu, contohnya, sekiranya seseorang mempunyai keupayaan kerja sebanyak 70 peratus, maka individu tersebut akan mendapat 70 peratus daripada gaji yang biasa untuk jawatannya.
Oleh itu, kami menggesa kerajaan supaya meneliti sistem gaji minimum di Amerika Syarikat dan Australia, seterusnya mempertimbangkan kelonggaran gaji minimum bagi golongan OKU.
Ini bagi menggalakkan sektor swasta untuk mengupah pekerja OKU, memandangkan mereka dapat membayar gaji yang lebih rendah dan “membuat pahala” kerana membantu pekerja OKU itu dalam mencari rezeki.
Perdana Menteri Najib Razak dalam ucapan Bajet 2016 mengumumkan bahawa mulai dari 1 Julai 2016, gaji minimum bulanan akan dinaikkan daripada RM900 kepada RM1,000 bagi Semenanjung Malaysia dan daripada RM800 kepada RM920 bagi Sabah, Sarawak, dan Labuan.
Ini melibatkan semua sektor swasta kecuali perkhidmatan domestik atau pembantu rumah.
Najib juga mengumumkan bahawa gaji permulaan terendah bagi penjawat awam ialah RM1,200 sebulan, yang bakal memanfaatkan seramai 60,000 orang penjawat awam.
OOI HENG pengarah eksekutif NGO Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU).

