Universiti Sains Malaysia (USM) dijangka mengumumkan esok keputusan siasatannya terhadap pemimpin pelajar Soh Sook Hwa, yang didakwa melanggarkan peraturan universiti itu dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

Soh yang juga presiden Persatuan Bahasa Cina USM dan bekas wakil pelajar, dituduh melanggar Seksyen 15 Auku dan "mencemarkan imej universiti" kerana didakwa berkempen untuk calon pembangkang dari Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua dalam pilihanraya umum lalu.

Soh adalah salah seorang daripada tiga pelajar USM yang menghadapi siasatan berhubung pembabitan mereka dalam pilihanraya lalu. Dua orang lagi sudah tamat pengajian Ogos lalu.

Beliau dihadapkan ke penal siasatan minggu lalu tetapi pihak universiti menangguh pengumuman hasil siastan itu. Soh juga dilarang bercakap dengan pihak media.

Jika didapati bersalah, pelajar tahun akhir kajian kewartawanan itu, yang dijadualkan tamat pengajiannya Mac ini, boleh dipecat daripada universiti.

Menteri dapatinya bersalah

Bagaimanapun, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Shafie Salleh berkata Soh didapati bersalah, walaupun pihak universiti belum mengumumkan keputusannya terhadap pelajar tersebut.

"Berdasarkan kepada bukti yang kami ada foto, logo (parti), masa dan tempat (dia dilihat berada) sudah jelas dia bersalah (seperti yang dituduh)," katanya ketika ditemui di Dewan Rakyat hari ini.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen kemudiannya, Shafie berkata kenyataannya itu tidak bermaksud untuk mempengaruhi keputusan siasatan jawatankuasa disiplin USM esok.

"Saya perlu menjawab soalan (mengenainya) yang dibangkitkan dalam dewan tadi," tambahnya.

Gugur tuduhan

Sementara itu, Pergerakan Demokrasi Pelajar dan Belia Malaysia (Dema), menggesa pihak USM supaya menggugurkan dakwaan terhadap Soh.

Setiausahanya, Ginie Lim Siew Lin berkata setiap orang mempunyai hak untuk menyertai proses politik, yang dijamin di bawah Pengisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia.

"Para belia dan pelajar sepatutnya diberi kebebasan mendapatkan maklumat dan dibenarkan menyuarakan pandangan mereka secara bebas, tanpa sebarang rasa takut bagi menggalakkan pemikiran intelektual," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, Auku mesti dihapuskan kerana ia bercanggah dengan aspirasi negara untuk mewujudkan masyarakat madani dan masyarakat berilmu.

"Akta tersebut bukan sahaja menyekat kebebasan pelajar berfikir dan menghalang semangat kreatif, tetapi juga menekan pelajar yang memperjuangkan keadilan dan kebebasan," tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan hak asasi manusia, Suaram menggesa pertubuhan masyarakat madani dan individu yang prihatin supaya menulis kepada USM bagi menyatakan sokongan mereka kepada Soh dan meminta USM memberhentikan tindakannya yang mengganggu dan menekan pelajar.

Dalam kenyataannya, penyalaras Suaram Pulau Pinang Choo Chon Kai berkata, pihaknya percaya sokongan seperti itulah, yang mendorongkan pihak USM untuk menangguhkan pengumuman hasil siasatannya pada 24 November lalu.

Choo juga berupakan bekas pelajar USM yang pernah digantung pengajiannya selama satu semester pada bulan Januari 2002 kerana memiliki lencana anti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).