Suhakam: Auku perlu diperbetulkan
Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) berkata Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) mesti dikaji semula supaya institusi pengajian tinggi tidak dikecualikan daripada tugas untuk melahirkan generasi masa depan yang berfikiran kritikal.
Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) berkata Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) mesti dikaji semula supaya institusi pengajian tinggi tidak dikecualikan daripada tugas untuk melahirkan generasi masa depan yang berfikiran kritikal.
Pesuruhjaya Suhakam Datuk N Siva Subramaniam berkata suruhanjaya itu akan menyerahkan satu memorandum kepada Kementerian Pengajian Tinggi mengenai perkara itu.
Menurutnya, sebarang langkah yang menekan aktiviti politik pelajar adalah bercanggah dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mewujudkan 'ketelusan dan kebebasan bersuara".
"Keprihatinan kami ialah terhadap Akta itu sendiri, yang merupakan perkara besar yang terpaksa kita hadapi. Kami perlu memperbetulkannya," katanya kepada pemberita di ibupejabat Suhakam di Kuala Lumpur.
Sebelum itu, Siva menerima memorandum dari wakil Pergerakan Soladiriti Pelajar(SMM) menggesa suruhanjaya tersebut turut campurtangan dalam kes pelajar tahun akhir Universiti Sains Malaysia (USM), Soh Sook Hwa yang menghadapi kemungkinan disingkirkan kerana didakwa berkempen dalam pilihanraya umum lalu.
Pemimpin SMS Ramadhan Fitri Ellias dan Chong Siew Ling, menyerahkan memorandum itu bagi pihak Soh.
Perpaduan
USM akan mengumumkan esok keputusan siasatan jawatankuasa disiplin yang dipengerusikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Jamaludin Mohaiadin.
Sementara itu, Siva turut memuji tindakan sekumpulan 30 pelajar USM dan Universiti Malaya yang datang ke Suhakam pagi ini untuk menyatakan sokongan mereka kepada Soh, serta menyaksikan penyerahan memorandum tersebut.
"Saya bangga dengan perpaduan yang ditunjukkan mereka. Ini satu petanda yang baik. Kita mahu melihat lebih ramai orang muda memperjuangkan hak asasi manusia. Kita mahu orang muda menyuarakan pendirian mereka, kerana anda semua adalah pemimpin masa depan," katanya.
Katanya, sebahagian besar daripada generasi pelajar sekarang dan yang akan datang, terdiri daripada mereka yang aktif dan mahu menggunakan kebebasan mereka bersuara.
Sebelum itu, Ramadhan berkata pihak berkuasa universiti gemar menyalahgunakan kuasa mereka bagi menyekat hak pelajar terbabit dalam aktiviti di luar kampus.
Berfikir secara kritikal
Sambil menggesa Suhakam supaya campurtangan dalam kes Soh bagi melindungi haknya sebagai seorang pengundi serta hak kebebasannya bersuara, beliau berkata, Auku merupakan alat yang memberi kuasa mutlak kepada pihak universiti.
"Auku diberi kuasa yang luas dan mutlak untuk membataskan pelajar untuk (mengambil bahagian) dalam aktiviti di luar kampus. (Ia) melanggar hak asasi manusia dan perlu dimansuhkan," tambahnya.
Sementara itu, penyelaras Suaram S Arutchelvan, yang turut hadir, menegaskan banyak pemimpin kerajaan, seperti bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, juga merupakan pemimpin pelajar dan membabitkan diri dalam politik.
Katanya, Auku merupakan satu anomali di tengah-tengah usaha kerajaan dalam masyarakat, seperti di sekolah, untuk menyemai kesedaran sivik dan kemampuan berfikir secara kreatif.
"Kami mahu pelajar kita berani, berfikir secara kritikal mengenai pelbagai perkara. Di televisyen, isu-isu dibahas antara parti kerajaan dan pembangkang kerana kita mahu isu-isu ini diberi perhatian.
"Tetapi di universiti, kita menyekat pelajar supaya tidak dapat menyuarakan pandangan mereka," tambahnya.

