Sharifah Aini mengaku tidak bersalah fitnah Siti Nurhaliza
Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya terhadap satu tuduhan memfitnah penyanyi popular Siti Nurhaliza Taruddin dengan menggunakan e-mel.
Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya terhadap satu tuduhan memfitnah penyanyi popular Siti Nurhaliza Taruddin dengan menggunakan e-mel.
Sharifah Aini, 51, mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu di rumahnya di No 42, Lorong Utara, Off Jalan Utara, Petaling Jaya, pada jam 4.52 petang 24 Ogos lalu.
Menurut Bernama , ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya, Sharifah Aini berdiri di luar kandang tertuduh kerana kes ini merupakan satu kes saman.
Beliau didakwa menyiarkan kepada seorang bernama Ahmed Shaharil Jamaluddin beberapa tuduhan tertentu membabitkan Siti Nurhaliza melalui penghantaran e-mel seperti yang digariskan dalam Lampiran A.
Lampiran A mengandungi butiran berikut:
halau bini orang yang mengandung tujuh bulan memang perangai binatang tak bertimbang rasa;
muka kau tu dipinjamkan hantu yang menyamar jadi cantik nak cover senduk penyek;
reporter please go selidik cerita CT dan Ayi cekak pinggang minta duit cash sebelum show di IB;
CT menyelinap kat bilik hotel jumpa Ramli M.S, pergi Singapore to be with Ramli;
tanya Kris Dayanti pasai botox dan bomoh nak buat CT cantik dan semua orang tunduk sayang pada CT.
Sharifah Aini didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Wartawan hiburan
Majistret Azroul Hisham Azulan membenarkan penyanyi itu diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Disember ini untuk menyebut semula kes itu.
Sharifah Aini, yang memakai baju kurung berwarna hijau muda, tiba di perkarangan mahkamah dengan ditemani seorang rakan pada jam 2.20 petang dengan menaiki kereta Mercedes Benz bernombor pendaftaran BDU 2.
Sejurus kemudian peguamnya Datuk Muhammad Shafee Abdullah tiba di perkarangan mahkamah dan kedua-duanya memasuki kamar mahkamah bersama-sama.
E-mel dan SMS yang dikatakan menghina serta memfitnah Siti Nurhaliza dilaporkan mula tersebar awal September lalu, didakwa dilakukan oleh satu kumpulan dikenali "Asmah and The Gang".
Berikutan itu, Siti Nurhaliza dan tiga wartawan hiburan membuat laporan polis mengenai e-mel yang turut mengaitkan mereka, manakala Sharifah Aini pula membuat beberapa laporan polis menafikan pembabitan beliau dalam penyebaran e-mel serta SMS itu.
Polis menahan seorang pensyarah berusia 37 tahun pada 27 September lalu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan ugutan jenayah yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pada 14 Oktober lalu pula, Sharifah Aini mendakwa beliau diserang dua lelaki di hadapan bangunan Seri Pentas (ibu pejabat TV3) di Bandar Utama ketika dalam perjalanan menuju ke rumah ibu saudaranya, dan turut mendakwa disuntik sejenis cecair.
Polis yang menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu bagaimanapun mendapati ada beberapa elemen yang mencurigakan dalam laporan itu.

