Politik wang adalah jenayah rasuah, kata Ketua Pengarah BPR
Kegiatan politik wang dalam mana-mana parti politik ditafsirkan sebagai "membeli undi" untuk mendapatkan jawatan dan ia adalah satu kesalahan jenayah rasuah, kata Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Seri Zulkipli Mat Noor hari ini.
Kegiatan politik wang dalam mana-mana parti politik ditafsirkan sebagai "membeli undi" untuk mendapatkan jawatan dan ia adalah satu kesalahan jenayah rasuah, kata Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Seri Zulkipli Mat Noor hari ini.
Menurut Bernama , beliau berkata, BPR tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan dan menyiasat mereka yang terbabit dengan kegiatan itu jika terdapat sebarang aduan mengenainya.
Beliau memberitahu pemberita demikian selepas menghadiri majlis penutupan dan penyampaian sijil Kursus Asas Forensik Komputer BPR yang disempurnakan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.
Menjawab soalan sama ada BPR akan menjalankan siasatan terhadap dakwaan berlakunya kegiatan politik wang pada pemilihan agung Umno September lalu, Zulkipli berkata setakat ini BPR tidak menerima sebarang aduan mengenainya.
"Saya tidak mahu membuat komen berdasarkan spekulasi dan mensensasikan perkara itu (politik wang dalam pemilihan Umno)," katanya.
Kaedah tersendiri
Lembaga Disiplin Umno telahpun mengambil tindakan menggantung keahlian beberapa pemimpin Umno yang didapati bersalah terbabit dengan politik wang sewaktu pemilihan parti itu di peringkat cawangan dan bahagian pada bulan Jun dan Julai lalu.
Malah, banyak pihak yang mendakwa perbuatan membeli undi telah berlaku sewaktu berlangsungnya pemilihan pucuk pimpinan Umno sewaktu perhimpunan agung parti itu September lalu.
Zulkipli bagaimanapun berkata BPR mempunyai kaedah tersendiri untuk menjalankan tugas mereka termasuk kaedah siasatan proaktif iaitu menyiasat tanpa menunggu aduan.
Pada 15 November lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dipetik sebagai berkata Majlis Tertinggi Umno (MT) tidak menolak kemungkinan merujuk kes kepada BPR atau polis bagi mereka yang didapati bersalah kerana terbabit dengan kegiatan politik wang pada pemilihan Umno.
Bagaimanapun, setakat ini semua kes yang berkaitan dengan kesalahan tataetika pemilihan parti dalam Umno, termasuk kesalahan politik wang masih dianggap sebagai masalah dalaman parti dan hanya dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin parti.

