Darul Ehsan Investment Group (DEIG) mengakui pihaknya membuat permohonan kepada bank bagi menyelesaikan masalah pinjaman melibatkan kerajaan Selangor melalui DEIG Land.

Namun, Ketua Pegawai Operasinya Soffan Affendi Aminudn memberitahu, walaupun menerima tawaran berjumlah RM500 juta namun pihaknya menolak tawaran tersebut selepas ia tidak dipersetujui Lembaga Pengarah Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI).

"Memang betul (ada mohon pinjaman bank). Tetapi ia merupakan salah satu kaedah yang kita guna pakai iaitu dengan cuba dapatkan pinjaman. Tapi kita sudah bentangkan kepada pengarah (MBI) dan mereka menolak cadangan pihak pengurusan (DEIG Land) itu.

"Kita dapat pinjaman dan bentang pada lembaga pengarah dan mereka tolak tawaran itu," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Shah Alam hari ini.

Syarikat belum beroperasi

Selain itu, ketika ditanya sama ada permohonan pinjaman itu dibuat bagi melunaskan hutang Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) terhadap kerajaan negeri, beliau menafikannya dan berkata ia merupakan salah satu kaedah bagi menyelesaikan masalah hutang kerajaan negeri.

"Bukan hutang KDEB. Kami buat rancangan strategik untuk lihat apa yang boleh dilakukan dan salah satunya ialah isu legasi, iaitu hutang kepada kerajaan negeri.

"Dan kaedah nak selesaikan masalah itu macam-macam, contohnya dengan mengambil pinjaman, memajukan pembangunan dan sebagainya. Tetapi cadangan kita (dengan guna pinjaman bank) tidak diterima pakai oleh lembaga pengarah (MBI).

"Kaedah nak selesai macam-macam contohnya ambil pinjaman, majukan pembangunan dan sebagainya. DEIG masih syarikat yang masih belum beroperasi dan bermodalkan RM2," katanya lagi.

Ketika ditanya lagi sama ada syarikat yang belum beroperasi boleh membuat pinjaman, Soffan dengan ringkas berkata: "Mengapa tidak?" sambil tersenyum.

BN Selangor hari ini mempersoalkan dakwaan pinjaman wang berjumlah RM500 juta yang diterima DEIG Land.

ADUN Sungai Panjang Budiman Zohdi berkata, DEIG Land ketika itu baru ditubuhkan dua bulan - 19 Mei – tetapi mendapat pinjaman daripada sebuah bank tempatan pada bulan Julai.

Budiman turut mendakwa, pinjaman yang diperoleh DEIG Land itu juga bertujuan untuk melunaskan hutang Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) terhadap kerajaan negeri.