Kerajaan Pulau Pinang mahu Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan arahan kepada polis untuk memastikan golongan transgender yang ditahan diberikan keadilan ketika di penjara.

Exco kerajaan negeri, Chong Eng berkata tanpa undang-undang atau arahan dalam isu ini, komuniti transgender tidak mendapat jaminan layanan adil di penjara.

Chong berkata, kerajaan negeri mahu kumpulan itu diletakkan di lokap berasingan untuk memastikan keselamatan mereka.

"Buat masa ini, ia bergantung kepada kecerdasan emosi pegawai yang bertugas. Dengan arahan daripada Kementerian Dalam Negeri atau Ketua Polis Negara, amalan ini boleh diselaraskan,” kata Chong pada sidang akhbar di Georgetown hari ini.

"Tanpa arahan, ada anggota polis boleh mendakwa mereka tidak tahu bahawa transgender perlu diletakkan dalam lokap berasingan," katanya.

Chong berkata demikian sebagai mengulas surat rasmi yang diterima dari Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi, yang menyatakan bahawa pihak polis tidak menghadapi sebarang masalah dengan transgender yang ditahan di lokap.

Abdul Rahim berkata, prinsip kedaulatan undang-undang diguna-pakai ketika berurusan dengan kumpulan transgender.

Beliau berkata empat peraturan yang telah digunakan termasuk Prosedur Lokap (LN 328/1985), 1995 Akta Penjara (Akta 537), Perintah Tetap Ketua Polis Negara (Sec. A118) dan Peraturan Mesyuarat Ketua Polis Pulau Pinang (No. A48).

[Baca berita penuh]