Hishamuddin Rais dibenarkan lawatan esok
Penulis kolum malaysiakini Hishamuddin Rais yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dibenarkan lawatan keluarga esok selepas 44 hari siasatan.
Penulis kolum malaysiakini Hishamuddin Rais yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dibenarkan lawatan keluarga esok selepas 44 hari siasatan.
Adiknya, Nordin Rais memberitahu malaysiakini tadi, polis membenarkan beliau sendiri bersama dua orang kakaknya melawat jam 2 petang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Nordin berkata nama ayah Hishamuddin tidak pula disebutkan, tetapi bagaimanapun ayahnya akan turut serta dalam rombongan lawatan itu.
Aktivis reformasi dan pengarah filem itu ditahan jam 5 petang di pejabatnya di Bangsar, Kuala Lumpur 10 April lalu.
Petang tadi di tempat yang sama, seorang lagi tahanan ISA Tian Chua, Naib Presiden Parti Keadilan Nasional, dibenarkan dilawat ayah dan adik lelakinya.
"Anak saya kelihatan letih tetapi sihat," kata Chua Neo Lai kepada wartawan selepas lawatan kira-kira sejam bermula 2.30 petang.
"Tian mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang prihatin. Kami habiskan masa berbual tentang hal keluarga," kata Chua, sambil menambah anaknya berpakaian sama seperti hari ditahan di Bangsar, Kuala Lumpur 10 April lalu.
"Tian beritahu dia ditahan seorang diri tetapi tidak tahu di mana tempat itu atau bila dia dibawa untuk berjumpa kami. Tian juga berkata beliau juga dirawat oleh doktor yang berlainan setiap minggu tetapi dia tidak mengambil sebarang ubat," kata Chua lagi.
Tian menghidap penyakit lelah.
Chua berkata anaknya tidak dibenarkan membaca selama sebulan tetapi selepas itu diberikan sebuah buku kesusasteraan lama China, Romance of the Three Kingdoms .
Sebelum ini, lima daripada 10 tahanan dibenarkan lawatan keluarga antara 3 hingga 8 Mei. Mereka adalah pengendali laman web 'Kempen Bebaskan Anwar' (FAC) Raja Petra Raja Kamaruddin dan pemimpin-pemimpin Keadilan Dr Badrul Amin Baharom, Mohamad Ezam Mohd Nor, Saari Sungib dan Lokman Noor Adam.
Sementara pemimpin-pemimpin Pemuda Keadilan N Gobalakrishnan serta Abdul Ghani Haroon, dan aktivis hak asasi manusia Badaruddin Ismail masih menunggu jawapan daripada polis.
Semua mereka ditahan antara 10 hingga 26 April lalu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.