Jabatan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang mendakwa seorang pegawai penguatkuasanya terpaksa mengeluarkan pistol untuk melindungi keselamatan dirinya dan rakan-rakan sekerjanya apabila mereka diancam ketika membuat serbuan di sebuah kedai jam.

Pengarahnya Fahmi Kassim berkata pegawai tersebut Mohd Zabidi Hassan, 48, tiada pilihan dan terpaksa mengeluarkan pistol apabila empat empat pegawai penguatkuasa dikepung oleh lebih 30 orang.

"Mereka menjerit dan mengancam pegawai-pegawai terbabit. Pegawai tersebut terpaksa mengeluarkan senjatapi untuk mempertahankan diri dan rakan-rakannya sebelum masuk ke dalam kenderaan mereka yang diletakkan dekat sini," katanya ketika mengulas mengenai kejadian tersebut.

Bagaimanapun, seorang pemilik kedai Goh Choon Ghee, 32, mendakwa Zabidi mengacukan pistol ke arahnya tanpa sebarang provokasi apabila pihak penguatkuasa membuat serbuan ke kedai itu di Batu Feringghi Sabtu lalu.

Ibunya, Loo Cheng Sim, 53, memberitahu satu sidang akhbar Selasa lalu bahawa beliau menyangka pegawai tersebut hendak membunuh anaknya itu.

Beliau mendakwa pegawai-pegawai penguatkuasa tersebut tidak menunjukkan sebarang kad kuasa mereka ketika membuat serbuan ke kedai itu.

Beberapa orang saksi juga memberitahu yang mereka menyangka kedai tersebut sedang dirompak dan mendakwa Zabidi mengacu pistolnya ke arah orangramai di situ, sebelum masuk ke kenderaan mereka.

DAP kritik

Pegawai penguatkuasa tersebut dikatakan terperanjat apabila Goh menggunakan kamera di telefonnya untuk mengambil gambarnya yang sedang memegang pistol. Ketika itu, pegawai berkenaan dikatakan cuba menyembunyikan senjatanya itu.

Gambar tersebut turut ditunjukkan kepada wartawan yang menghadiri persidangan akhbar tersebut di ibu pejabat DAP Pulau Pinang.

Goh yang membuat laporan polis mengenai kejadian itu, telah ditahan pada hari yang sama berdasarkan kepada laporan yang dibuat pegawai penguatkuasa tersebut, yang mendakwa Goh cuba menyerangnya.

Goh kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis pada hari berikutnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Perdagangan Dalam Negeri Pulau Pinang, Lau Chiek Tuan menyelar DAP kerana cuba mempolitik kejadian tersebut melalui media.

"DAP boleh membuat laporan mengenai kejadian tersebut kepada pihak berkuasa dan tidak sepatutnya memperalatkan isu tersebut untuk mencari pengaruh politik," katanya dalam satu sidang media di Pulau Pinang.

--------------------------------------------------------------------------------

ATHI VEERANGGAN adalah pemberita sambilan malaysiakini di Pulau Pinang.