Kerajaan hari ini dicabar menubuhkan satu jawatankuasa siasatan bebas untuk mengenal pasti sebab-sebab wujud sentimen membenci di kalangan rakyat, seperti didakwa Perdana Menteri.

Kerk Kim Hock (DAP-Kota Melaka) dalam satu soalannya di Dewan Rakyat pagi tadi meminta Perdana Menteri menubuhkan jawatankuasa tersebut memandangkan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sendiri berulang kali membuat dakwaan sedemikian.

Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Noh Omar berkata, kerajaan tidak perlu menubuhkan jawatankuasa itu kerana sentimen itu wujud akibat hasutan parti-parti pembangkang yang menyebarkan fitnah dan memutar-belitkan fakta termasuk ayat-ayat Al-Quran.

"Mereka menyalahgunakan kebebasan media, menyebarkan surat layang, menyalahguna internet. Malah kanak-kanak kecil di tadika telah disemai perasaan benci (kepada pemimpin kerajaan)," jelas Noh.

Selepas memberikan penjelasan selanjutnya, beliau bangun menunjukkan sebuah tabloid isu-isu semasa Al-Islah yang memuatkan berita utama "Guna royalti minyak langgan perempuan." Akhbar ini diterbitkan oleh Penerbitan Pemuda beberapa bulan lalu.

"Inilah contoh kalau beri kebebasan, pembangkang membuat fitnah," kata Noh.

Beliau memberikan sokongan kepada hujah Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) menyelar tindakan pembangkang menganjurkan perhimpunan di jalan raya.

Bung menggesa parti pembangkang menunggu pilihanraya untuk melakukan perubahan.

Sebelum itu Noh (BN-Tanjung Karang) berkata pembangkang sepatutnya cuba meyakinkan rakyat tentang rancangan dan dasar yang bakal dilaksanakan lebih baik daripada kerajaan sedia ada.

Bagaimanapun Kerk dalam soalan tambahan tetap menggesa kerajaan agar menjalankan siasatan bebas berhubung isu kempen membenci kerajaan itu. Beliau juga meminta pemimpin kerajaan agar tidak menyalahkan pihak lain seperti parti pembangkang, negara Barat, negara Islam, Dong Jiao Zong atau Suqiu.

Noh menjawab, pembangkang sendiri turut menyalahkan kerajaan dan menegaskan sentimen benci itu benar-benar wujud apabila timbul "sesuatu isu" dua tahun lalu.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut isu tersebut tetapi menjelaskan banyak istilah dan tohmahan yang wujud sejak 1998 seperti nepotisme, kronisme, reformasi, mahafiraun, mahazalim bagi memburukkan pemimpin kerajaan.