Permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk membatalkan saman PKR dan ketua umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung ‘derma’ RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun bank peribadi perdana menteri akan didengar pada 14 Disember.

Tarikh itu ditetapkan untuk pengurusan kes hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abd Wahab.

Peguam Michelle Kummar yang mewakili PKR dan enam yang lain berkata beliau akan mengemukakan afidavit jawapan berhubung permohonan Najib hari ini.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, sebelum ini mahu permohonan pembatalan ditetapkan sebelum Najib memberikan jawapannya berhubung sumbangan RM2.6 bilion itu di Parlimen bagi mengelakkan sebarang kerumitan undang-undang kerana ia adalah kes mahkamah.

Jawapan Najib dijadualkan pada 3 Disember, iaitu hari terakhir sesi Parlimen.

Dengan perkembangan hari ini, masih tidak pasti sama ada Najib akan berpegang kepada keputusan untuk memberi jawapannya pada 3 Disember nanti.

PKR memfailkan saman itu pada 12 Ogos lalu dengan menamakan Najib, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, 1MDB dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai defendan pertama hingga keempat.

[Baca berita penuh]