PAS: Fokus gerak kerja parti, jangan tabur fitnah
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan ahli dan petugas parti menumpukan gerak kerja parti daripada membazir masa "menabur fitnah" dengan kritikan yang boleh merosakkan imej parti.
Pada masa yang sama, beliau berkata walaupun PAS tidak pernah menyekat anggota parti mengeluarkan kritikan atau komentar terhadap kepimpinan parti, tetapi ia mesti dinyatakan melalui saluran parti.
"Ahli parti yang melafazkan dirinya akan beristiqamah, bersama perjuangan parti sehingga mati dan menyayangi parti tidak wajar melukakan imej parti.
"Kenyataan berupa tuduhan hanya akan mengundang pelbagai persepsi yang tidak tepat akan membawa kesan dan dosa yang berpanjangan.
"Lebih bahaya bilamana ia akan mengundang pelbagai tulisan yang hanya menyambung benih fitnah tersebut. Bukan itu sahaja, masa untuk parti bergerak ke depan juga terbazir," katanya dalam satu kenyataan.
Tuan Ibrahim turut memberi amaran supaya anggota parti mengelak membuat kenyataan terbuka yang boleh mengundang fitnah dan salah faham di kalangan ahli dan masyarakat luar.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Presiden PAS Datuk Abdul Hadi Awang kini diserang hebat oleh bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa berhubung dakwaaan tokoh PAS itu pernah mengaku cuba membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno di Selangor.
Kenyataan Husam itu mengundang reaksi keras banyak pemimpin PAS lain termasuk Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Mahfodz Mohamed menyarankan Husam keluar parti dan menyertai parti serpihan Parti Amanah Negara.
Dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim mengarahkan ahli dan seluruh jentera perlu memberi fokus kepada memperkasakan parti, memperkemas jentera pilihan raya, menambah keahlian partidan menggerakkan daftar pengundi dan terus melaksanakan kebajikan.
Katanya, ia sebagai mengekalkan reputasi parti yang baik bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang,
"Sehubungan itu, tumpukan gerak kerja melihat ke hadapan dari melihat ke belakang atau ibarat pemain bola yang sibuk mencabut kemuncup dan memerhati gelagat penonton ketika permainan sedang berjalan," katanya.

