Syed Ali kata Umno masih kukuh, mantap
Ketua Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata kedudukan Umno masih lagi "kukuh dan mantap" sekaligus menepis dakwaan pembangkang bahawa parti dan akar umbi berpecah belah.
Beliau mendakwa pembangkang sengaja melakukan serangan dengan "memutarbelit" beberapa isu semasa bagi meyakinkan rakyat bahawa parti itu berpecah dan mengalami krisis kepimpinan, demi meraih sokongan.
Menulis dalam blog Umno Cheras hari ini, beliau bagaimanapun mengakui semua parti termasuk Umno tidak terlepas dengan masalah dalaman, oleh itu beliau menyifatkan ia sebagai perkara biasa.
"Sebenarnya Umno masih kukuh dan mantap dibawah kepimpinan sedia ada, cuma pihak berkepentingan sengaja melemparkan persepsi negatif terhadap Umno bagi meraih sokongan.
"Sama ada Umno PAS, PKR mahupun DAP, semuanya tidak terlepas daripada masalah dalaman, itu perkara biasa bagi mana-mana pertubuhan sisasah," katanya.
Menurutnya lagi, sejarah Umno membuktikan parti itu matang menyelesaikan isu dan krisis kepimpinan termasuk gelombang reformasi ekoran pemecatanan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Umno dan Kabinet berkaitan kes penyalahgunaan kuasa.
"Bagaimanapun, Umno masih kukuh sehingga ke hari ini malah semakin mendapat kepercayaan rakyat terutama orang Melayu dan umat Islam di negara ini," katanya sambil menambat keberkatan semangat perpaduan dan permuafakatan pemimpin dan ahli yang komited menyumbang kejayaan Umno.
Namun begitu, setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan mengingatkan anggota bahawa ia bukan jaminan untuk Umno terus berasa selesa sebaliknya berwaspada dengan "serangan jahat pembangkang" untuk menumbangkan Umno dan BN.
"Kita kena akur, pembangkang terlatih dalam serangan fitnah menerusi laman-laman sosial, mereka bijak menyogok rakyat dengan fakta dan tanggapan yang diputarbelit," katanya.
Sehubungan itu, Syed Ali mahu jentera siber Umno melipatgandakan usaha bagi menangkis dakyah dan serang fitnah pembangkang, dengan fakta yang tepat.

