Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyindir kefahaman Presiden Amerika Syarikat George W Bush mengenai ekonomi serta mengecam hasrat Australia untuk menjalinkan hubungan rapat dengan negara benua Asia.

Dr Mahathir mengambil peluang ketika berucap kepada para menteri luar dan ahli perniagaan di persidangan mengenai cadangan penubuhan Kumpulan Asia Timur (EAC), untuk menyindir Bush, sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini ketika 22 tahun menjadi Perdana Menteri Malaysia.

"Apabila kapal terbang merempuh Pusat Dagangan Dunia pada 11 Sept 2001, Bush terus mengenalpasti apa yang disangkanya punca sebenar (kejadian itu).

"Ianya kerana orang Islam cemburi dengan kebebasan yang dinikmati oleh rakyat Amerika. Ianya kerana orang Islam miskin. Ini memperlihatkan betapa ceteknya kefahaman (Bush) mengenainya," katanya.

"Begitu juga, Bush mungkin juga tidak tahu punca sebenar kemerosotan nilai Dolar Amerika dan punca kenaikan harga minyak.

"Bush tidak mungkin akan mengaitkannya dengan defisit besar AS atau sikap boros kerajaannya. Kita tidak mengharapkan Bush melakukan sesuatu untuk mengembalikan nilai Dolar AS. Begitu juga beliau tidak mungkin mampu memperbetulkan harga minyak," katanya.

Jadi sasaran

Mengenai Australia, yang kerap menjadi sasaran kritikan Dr Mahathir ketika pemerintahannya, beliau mengulangi penentangannya terhadap usaha Canberra untuk mewujudkan hubungan rapat dengan kumpulan ekonomi dan politik Asia.

Ditanya apakah sumbangan yang boleh diberikan oleh Australia lepada EAC, beliau menjawab: "Tidak ada apa-apa".

Sesetengah negara telah mencadangkan supaya Australia turut dijemput menyertai EAC, tetapi Dr Mahathir berkata: "Mereka adalah etnik Eropah, mereka tidak boleh jadi orang Asia."

Pemimpin 10 negara anggota Asean mencapai persetujuan di Sidang Kemuncaknya di Laos minggu lepas supaya Malaysia menganjurkan sidang kemuncak pertama EAC tahun depan, yang turut dianggotai Jepun, China dan Korea Selatan.

Penyertaan Australia, New Zealand dan India masih lagi dalam perbincangan. Dengan ketiadaan Mahathir kali ini, maka tiada lagilah penghalang utama kepada hasrat Australia itu.

EAC adalah hasil cadangan Dr Mahathir pada 1990 yang ketika itu gagal menjadi kenyataan kerana tentangan Amerika yang bimbangkan kewujudannya akan menjejaskan Forum Kerjasama Ekonomi Asia (Apec) yang dianggotai oleh 21 negara.

AFP