Beban teksi buat pemandu gagal bersaing dengan Uber
FOKUS Pemandu teksi yang berang dengan kemunculan Uber merancang mengadakan himpunan bantahan terhadap Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (Spad).
Mereka mendakwa suruhanjaya itu tidak mengendahkan gesaan mereka supaya pesaing mereka itu diharamkan.
Himpunan itu dirancang pada 18 November ini.
Ia pasti berbeza sama sekali dengan Himpunan Teksi Rakyat 1Malaysia yang diadakan menjelang pilihan raya umum ke-13 lalu yang penuh ceria.
Ketika itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjanjikan lesen individu untuk pemandu teksi, jaminan kenderaan baru dan juga tayar percuma.
Kita sedia maklum bahawa kumpulan ini berang dengan pemandu Uber yang menyebabkan periuk nasi mereka terjejas dengan popularitinya yang bertambah dari hari ke hari.
Bagaimanapun, ramai tidak sedar, pendapatan pemandu teksi sejak sekian lama dikekang oleh sistem yang boleh dieksploitasi.
Malaysiakini meneliti kenapa kebanyakan keuntungan pergi kepada syarikat-syarikat swasta serta bagaimana pemandu teksi terpaksa membayar dua kali ganda berbanding pemilik lesen sendiri di Lembah Klang.
Menurut jawapan bertulis di parlimen Jun lalu, Selangor dan Kuala Lumpur menguasai 61 peratus daripada keseluruhan lesen teksi di Malaysia.
Bagaimanapun, Selangor dan Kuala Lumpur juga satu-satunya tempat dalam negara ini yang menyaksikan paling ramai pemandu tidak mendapat lesen sendiri.
Di Kuala Lumpur, hanya 28.2 peratus lesen dipegang oleh pemandu teksi manakala 71.8 peratus lagi adalah lesen bukan individu.
Di Selangor, lesen individu dikeluarkan sebanyak 48.9 peratus manakala bukan individu pula 51.1 peratus.
Ini bermakna, seorang daripada empat pemandu teksi di Kuala Lumpur terpaksa membayar yuran tinggi tanpa mampu memiliki kenderaan sendiri.
Sebagai contoh, sebuah Proton Persona 1.6 dengan lesen bukan individu terpaksa membayar RM18 untuk lesen, RM32 untuk sewa kenderaan dan RM3 cukai barangan dan perkhidmatan (GST) setiap hari.
Dalam tempoh setahun, mereka tanpa sedar membayar sebanyak RM19,345.
Kos ini jauh lebih tinggi berbanding dengan pemandu teksi yang membeli sendiri Proton Persona 1.6 dan berjaya mendapat lesen individu.
Bagi pemilik lesen individu, kos tahunan mereka untuk bayaran ansuran kereta cuma RM8,000 hingga RM6,100 (pinjaman sembilan tahun) dan RM2,000 untuk insurans kereta komersial.
Kos-kos lain perlu ditanggung mereka termasuk pemeriksaan tahunan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) (RM116) dan pemeriksaan perubatan (RM50).
Bagaimanapun, pemandu Uber tidak terbeban dengan semua ini.
Kebanyakan pemandu Uber menggunakan kereta Perodua Myvi 1.5.
Mereka hanya perlu membayar ansuran kereta sekitar RM7,750 setahun – RM6,750 untuk ansuran tahunan (pinjaman sembilan tahun) dan RM1,000 untuk ansuran biasa kereta.

