Dua kes mahkamah ditangguhkan hari ini susulan peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah masih tidak sihat.

Dalam kes pertama, anak guamnya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed sudah hadir seawal jam 9 pagi untuk memberi keterangan terhadap bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa dan partinya.

Malah, Mustapa ( gambar ) sendiri kelihatan sudah bersedia apabila kelihatan membelek-belek keterangan saksi dalam mahkamah.

Hakim Nor Bee Arifin mahu kes itu diteruskan kerana sudah banyak kali ditangguh.

Bagaimanapun, peguam Lew Cho Kang berkata walaupun peguam Husam, Mohd Fitri Khalis, hadir, peguam PAS Mohd Hanipa Maidin pula tidak hadir.

Selepas pertemuan peguam-peguam itu di kamar hakim, kedua-dua pihak bersetuju bertemu semula pada 30 November untuk kemungkinan penyelesaian luar mahkamah.

Jika gagal, pendengaran kes akan dibuat pada 27 Januari.

Sementara itu, kes saman fitnah RM100 juta Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas rakannya Presiden Parti India Malaysia (MUIP) Datuk S Nallakaruppan juga ditangguhkan susulan masalah kesihatan Shafee.

Hari ini ditetapkan untuk sesi soal balas Anwar oleh Shafee, yang mewakili Nallakaruppan.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab menetapkan esok untuk soal balas.

Ini hari kedua kes ini ditangguhkan selepas semalam atas alasan sama.

[Baca berita asal]