Penghuni kuarters gempar bunyi kuat, bongkah batu jatuh
Penghuni di Kuarters Jabatan Perhutanan Negeri Pahang digemparkan dengan bunyi dentuman kuat berpunca daripada beberapa bongkah batu besar yang jatuh dari atas bukit berikutan kejadian tanah runtuh di Km52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, semalam.
Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Salehin, 37, berkata ketika kejadian, hujan lebat diikuti guruh dan petir mendorongnya mengambil keputusan untuk berada di rumah walaupun pada mulanya ingin keluar ke kedai berhampiran.
"Tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat beberapa kali menyebabkan saya terus keluar rumah untuk mengetahui perkara sebenar yang berlaku.
"Saya nampak jiran bertempiaran lari dan menyelamatkan diri melihat batu bongkah besar jatuh dan menghempap sebahagian kuarters, " katanya ketika ditemui Bernama di Bentong hari ini.
Beliau berkata ketika kejadian itu kesemua penduduk sempat menyelamatkan diri dan meninggalkan rumah masing-masing.
Sementara itu, Suhaimi Ahmad, 55, berkata ketika kejadian isterinya sedang menyediakan makan malam dan secara tiba-tiba selut lumpur menerpa masuk ke rumahnya dari bahagian dapur.
"Isteri saya terkejut kerana lumpur tiba-tiba masuk rumah kami... Namun isteri saya sempat berpaut pada pintu kerana air bercampur lumpur menderu dengan pantas.
"Saya segera menyelamatkan isteri dan anak-anak saya keluar meninggalkan rumah," katanya.
Menurut Suhaimi sebelum kejadian itu berlaku dia terdengar bunyi dentuman yang kuat seakan petir.
"Saya sangkakan bunyi petir rupanya sangkaan saya meleset apabila melihat beberapa bongkah batu besar jatuh dari atas bukit," katanya.
Bapa kepada dua orang cahaya mata itu, menyifatkan kejadian tersebut kali pertama berlaku sejak beliau mendiami kawasan kuarters berkenaan kira-kira 17 tahun yang lalu.
Kejadian tanah runtuh berhampiran Lentang-Bukit Tinggi pada pukul 6.30 petang semalam menyebabkan sebahagian lebuh raya dari kedua-dua arah tidak boleh dilalui, namun tidak kehilangan nyawa dilaporkan.
Hanya tiga buah kenderaan persendirian dan sebuah lori angkut terkandas di kawasan itu.
Kejadian itu turut menjejaskan 25 penghuni kuarters yang terpaksa dipindahkan buat sementara waktu ke Masjid Lentang apabila kediaman mereka dilimpahi banjir lumpur.
Sementara itu seorang daripada pengguna Lebuhraya KL-Karak, Naimran Ibrahim menceritakan pengalaman berdepan detik mencemaskan semasa kejadian tanah runtuh di Km52.4 laluan Lentang-Bukit Tinggi dekat Bentong semalam.
"Saya terus lari selamatkan diri tanpa memikirkan apa-apa," katanya.
Naimran, 37, berkata beliau bersama ayahnya terpaksa meninggalkan keretanya di tengah-tengah lebuh raya dan lari sejauh 50 meter untuk menyelamatkan diri.
"Semasa kejadian, hujan lebat membasahi laluan berkenaan dan tiba-tiba sebuah lori yang berada di hadapan kereta saya melintang di laluan itu.
"Pada mulanya saya sangka lori itu melintang akibat keadaan jalan yang licin tetapi tidak lama selepas itu, barulah saya sedar terdapat air lumpur yang banyak melimpah dari sebuah bukit berhampiran laluan itu," katanya ketika ditemui Bernama.
Berikutan itu, katanya beliau yang dalam perjalanan dari Seremban ke pejabatnya di Kuantan terus bertindak menekan brek kecemasan untuk memberhentikan kereta bagi menyelamatkan diri.
Naimran yang merupakan pereka kad kahwin berkata banjir lumpur itu turut menghanyutkan keretanya ke tepi sebuah longkang berdekatan laluan itu.
"Kereta saya berjaya ditarik keluar oleh petugas lebuh raya kira-kira pukul 9.30 malam tadi, dan alhamdulillah kereta saya hanya mengalami kerosakan kecil di bahagian luar manakala enjin masih boleh berfungsi" katanya yang memandu kereta jenis Mini Cooper itu.
Katanya, beliau akan menghantar keretanya ke bengkel kenderaan di Kuantan untuk proses baik pulih.
Sementara itu, Low Chin Seng, 17, yang turut terperangkap dalam kejadian itu berkata ianya berlaku dalam keadaan yang pantas sehingga menyebabkan kereta yang dipandunya melanggar sebuah kenderaan di depannya.
"Saya dapat lihat pokok tumbang dan air mengalir dengan deras dari bukit berdekatan," katanya yang dalam perjalanan dari Cheras ke Bukit Tinggi untuk menghadiri majlis makan malam dekat Bentong.
Lim yang memandu kereta jenis Toyota Estima ditemani rakannya semasa kejadian berkenaan dan kedua-duanya merupakan penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Ketari di Bentong.
"Saya masih lagi terkejut... ini merupakan pengalaman pertama saya dalam kejadian tanah runtuh dan amat bersyukur kerana terselamat," katanya.
Sementara itu, semua penghuni kuarters Jabatan Perhutanan Negeri Pahang yang ditempatkan di sebuah masjid di Lentang akibat banjir lumpur di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak semalam akan ditempatkan di unit-unit kosong di kuarters itu dalam masa terdekat.
Penolong Pegawai Perolehan Bahan Tanaman Hutan Lentang Saiful Azmi Mat Aazid berkata pihaknya dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) kini sedang giat membersihkan unit kosong berkenaan bagi memastikan penghuni dapat tinggal dalam keadaan selesa dan selamat.
"Semua unit yang kosong berkenaan cukup untuk kita tempatkan 14 keluarga yang terjejas akibat banjir lumpur semalam.
"Kita tak dapat menjangkakan berapa lama lagi mereka boleh pulang ke rumah masing-masing tetapi buat sementara waktu mereka akan tinggal di unit berkenaan selepas bekalan air dan api disambungkan ke unit berkenaan dalam tempoh terdekat," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Saiful Azmi berkata, keadaan penghuni kuarters berkenaan yang kini ditempatkan buat sementara waktu di Masjid Lentang adalah baik dan tahap kesihatan mereka termasuk ibu yang berpantang kini dipantau oleh doktor dari Kementerian Kesihatan.
"Doktor telah buat pemeriksaan terhadap ibu dan bayi berkenaan dan keadaan kedua-dua mereka Alhamdulillah sihat.
"Bekalan makanan dan minuman untuk para penghuni juga mencukupi buat masa kini dan kita menerima bantuan dari pihak Pemuda Umno Bentong dan Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.
Pihak Bomba juga kini katanya sedang giat membaiki kawasan dan menilai kerosakan unit-unit rumah kuarters berkenaan yang terjejas akibat banjir lumpur selepas hujan lebat luar biasa turun di kawasan itu semalam.
- Bernama

