Lim saran pengkritik projek penambakan ke Kelantan
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, adalah lebih baik untuk NGO yang 'membuat bising' berhubung projek penambakan tanah yang diluluskan di negeri itu daripada membuat spekulasi mengenai yang belum diluluskan.
Katanya, kerajaan negeri Pulau Pinang semasa hanya meluluskan 60 ekar untuk penambakan - 35 ekar di Bayan Mutiara dan 25 ekar di Bayan Bay.
"Kerajaan negeri BN sebelum ini meluluskan hampir 50 kali lebih banyak tanah untuk penambakan daripada pentadbiran sekarang, jadi saya tidak tahu mengapa mereka (NGO) membuat bising mengenainya," kata Lim di Bayan Baru hari ini.
"Jika NGO berkenaan benar-benar ambil berat tentang perkara itu, ia adalah perkara yang baik. Tetapi lebih baik jika mereka bercakap mengenai projek-projek yang telah diluluskan. Jangan buat spekulasi mengenai projek yang belum mendapat kelulusan," katanya.
Menurut Lim, jika NGO berkenaan benar-benar mengambil berat tentang alam sekitar, mereka perlu memberi perhatian kepada pembalakan kawasan hutan simpanan di Kelantan.
"Jangan hanya memberi tumpuan kepada Pulau Pinang. Saya tidak tahu mengapa kita sentiasa menjadi sasaran."
Pentadbirannya, kata Lim tidak pernah "merampas" walaupun seinci tanah rizab hutan di Pualau Pinang.
"Manakala di Kelantan, isteri ADUN Salor Husam Musa menerima ancaman bunuh," kata Lim, merujuk kepada bekas naib presiden PAS yang mengeluarkan kenyataan mendakwa pembalakan yang berlebihan di negeri itu.
"Kami mengutuk tindakan dan berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan tidak bertamadun itu," katanya.
Lim berkata, hanya projek yang diluluskan oleh kerajaan negeri, termasuk kerja-kerja penambakan, hendaklah dianggap sebagai muktamad.
"Kita tidak seharusnya mengulas mengenai mana-mana projek yang belum diluluskan," katanya lagi.
Walaupun tidak menyebut nama, Lim dipercayai merujuk kepada kenyataan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), yang mahu kerajaan negeri di jalan pantai Permatang Damar Laut, dekat Batu Maung.
Presiden CAP SM Mohamed Idris berkata rakyat, terutamanya 300 nelayan akan terjejas oleh kerja-kerja penambakan.

