Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR Tian Chua dan 11 lagi kekal dibebas dan dilepaskan daripada pertuduhan berkaitan perhimpunan haram dalam BERSIH pertama.

Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang membebaskan mereka sebelum ini, kata peguam Faiz Fadzil.

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga anggota yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif.

Dua lagi anggota panel ialah hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hamid Sultan Abu Backer dan Datuk Zamani A Rahim.

Mahkamah Sesyen pada 27 Februari 2013 membebaskan Mohamad, Chua dan 12 lagi yang terlibat dalam himpunan BERSIH pada 2007 dan tidak mematuhi arahan bersurai.

Hakim Mahkamah Sesyen Datuk Jagjit Singh Bant Singh berpuas hati dengan pengakuan Mohamad dan Chua bahawa tiada sebarang halangan untuk mereka menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong semasa himpunan itu.

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, dilaporkan memberitahu mahkamah bahawa beliau mempunyai kebenaran polis untuk bergerak ke istana bagi menyerahkan memorandum itu.

Keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas itu.