Prosidur jenayah yang terkandung dalam Akta Kanak-Kanak (CA) 2001 memerlukan semakan segera, kata ahli Jawatankuasa Undang-undang Jenayah, Majlis Peguam, Baljit Singh Sidhu.

Bercakap di seminar mengenai sistem keadilan untuk kanak-kanak, beliau berkata peruntukan utama yang memerlukan kajian semula ialah ketiadaan 'hak berdiam diri' sepertimana yang diperuntukkan kepada tertuduh dewasa dalam undang-undang jenayah sedia ada.

Beliau juga mencadangkan supaya semakan semula dibuat terhadap seksyen yang mengawal laporan pihak media mengenai kanak-kanak, tempoh tahanan reman dan budibicara mengenai tempoh tahanan, dan prosidur jaminan.

"Kami meminta bahagian semakan semula undang-undang di Jabatan Perdana Menteri supaya menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyelia pindaan kepada Akta Kanak-Kanak," katanya.

Sebagai contoh, katanya, CA tidak memasukkan hak untuk 'berdiam diri' yang menurut beliau boleh mengakibatkan implikasi yang serius.

Seksyen 90(9) hanya membenarkan seorang kanak-kanak memberi keterangan secara bersumpah atau memberi kenyataan untuk membela diri.

Mengikut undang-undang, katanya, sesiapa yang dibicarakan di bawah Kanun Prosidur Jenayah (CPC) boleh memberi keterangan secara bersumpah daripada kandang saksi, memberi keterangan tanpa sumpah atau memilih untuk berdiam diri.

Boleh dipertikaikan

"Pilihan untuk berdiam diri tidak terdapat dalam CA, dan ini boleh dilihat sebagai satu diskriminasi terhadap kanak-kanak," katanya kepada kira-kira 30 peserta seminar tersebut di Kuala Lumpur hari ini.

"Hak ini patut ditentukan dengan jelas dalam CA. Malah, hak untuk berdiam diri telah dimasukkan ke dalam pindaan CPC yang dijangka dibawa ke Parlimen tahun depan," katanya.

Menurutnya lagi, walaupun CA boleh memberikan hak itu kepada seorang kanak-kanak dengan merujuk kepada Seksyen 5 CPC, tetapi ia masih boleh dipertikaikan.

Baljit turut menulis mengenai CA yang telah dikuatkuasakan hampir satu setengah tahun selepas ianya diterbitkan dalam Warta Kerajaan pada Mac 2001. Rang undang-undang itu mengambil masa tiga tahun untuk dibawa ke Parlimen.

Penceramah lain ialah Penolong Pengarah Undang-undang Jabatan Kebajikan Masyarakat Teoh Kim Lian, Ketua Unit Jenayah Am dan Seksual Pejabat Peguam Negara Kamaruzaman Ab Jalil, Pegawai Bahagian Pendakwaan dan Jabatan Undang-undang Penyiasatan Jenayah Jude Pereira, Pegawai Undang-undang Bahagian Keselamatan Jabatan Penjara M Subramaniam dan peguam Yasmeen Mohd Shariff.

Mengenai kawalan terhadap laporan media mengikut Seksyen 15 CA, Baljit berkata ianya lebih merupakan usaha menseimbangkan antara melindungi kepentingan kanak-kanak dan mencari penyelesaian kepada masalah melalui pendedahan media.

Seksyen 15(1) secara khusus melarang pendedahan maklumat yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak terbabit, termasuk nama, alamat dan sekolah, tidak kira sama ada kanak-kanak itu merupakan tertuduh ataupun seorang saksi.

Perintah mahkamah

Pihak media juga tidak boleh menyiarkan sebarang gambar kanak-kanak terbabit atau orang yang berkaitan atas sebab atau tujuan yang sama.

"Ini adalah selaras dengan prinsip kerahsiaan untuk melindungi kepentingan kanak-kanak," katanya.

"Hanya Mahkamah Kanak-Kanak boleh memberi arahan sebaliknya jika ia berpuas hati bahawa penyiaran berita mengenai maklumat tersebut boleh membantu proses keadilan," katanya.

Baljit berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat juga boleh memohon untuk mendapat maklumat tertentu untuk disiarkan jika ianya penting untuk berbuat sedemikian.

"Walaupun sekatan ketat seumpama itu boleh menjejaskan usaha pihak media untuk membantu mencari kanak-kanak yang hilang atau anggota keluarga kanak-kanak terbiar, tetapi apakah yang boleh dibuat oleh pihak media jika kanak-kanak terbabit begitu kecil untuk mengetahui nama ibu bapa mereka atau di mana mereka berada?," soalnya.

Beliau menyebut contoh satu kes di mana kanak-kanak dari Singapura ditemui merayau dekat ibu pejabat Polis Johor pada 20 Ogos lalu dan membawa bersamanya surat beranak dan wangtunai RM2,000.

Akhbar perdana terus menyiarkan maklumat mengenai diri kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun itu, termasuk nama, gambara dan nama ibu bapanya, bersama laporan mengenai latarbelakang jenayah (ibu bapanya).

"Pihak media dengan jelas telah melanggara CA. Agensi-agensi berkaitan sepatutnya berusaha untuk melindungi kanak-kanak itu daripada dibabitkan dengan latarbelakang ibu bapanya, yang boleh menjejaskan masa depannya.

"Sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat sepatutnya mendapatkan kebenaran mahkamah untuk menyiarkan gambar-gambar, pihak media pula sepatutnya menyemak dengan jabatan berkenaan sebelum menyiarkan gambar kanak-kanak itu di muka depan akhbar," katanya.

Menurut Baljit, pekerja sosial dan parti politik yang mahu mengumumkan melalui sidang akhbar mengenai kes kanak-kanak yang menjadi mangsa dera, contohnya, perlu mendapat kebenaran mahkamah terlebih dahulu mengikut Seksyen 15 itu.

"Selain mengambil kira kepentingan kanak-kanak itu, mahkamah juga boleh menentukan maklumat yang sesuai untuk disiarkan," katanya sambil menambah pegawai polis hanya boleh memberitahu fakta-fakta tanpa mendedahkan identiti kanak-kanak terbabit.

"(Foto) tidak semestinya disiarkan sepenuhnya, mungkin bahagian tertentu boleh dikelabukan," tambahnya.

Ikat jamin yang terlalu tinggi

Beliau juga membangkitkan isu di mana pegawai pendakwa memohon ikatjamin yang terlalu tinggi, yang selalunya dibenarkan pula oleh pihak majistret.

"Ramai majistret yang masih dalam usia pertengahan 20-an dan baru sahaja keluar dari universiti. Majistret yang berpengalaman mengendalikannya dengan lebih baik, terutama dalam kes-kes yang membabitkan kanak-kanak," katanya.

Baljit berkata, satu lagi bidang yang perlu dikaji semula ialah memperkenalkan ikatjamin bersyarat bagi kesalahan yang membawa hukuman mati, sama seperti tertuduh dewasa di mana pengecualian dibuat sekiranya mereka sakit, mengalami sakit jantung dan juga kencing manis.

Satu lagi bahagian yang boleh dikaji semula ialah tempoh tahanan reman mengikut Seksyen 84.

"Ianya berbahaya jika CA tidak menetapkan tempoh tahanan tersebut. Pada masa ini, hanya terdapat satu kes yang menjadi rujukan mahkamah untuk membuat keputusan berdasarkan kepada fakta kes. Pihak mahkamah boleh melanjutkan tempoh tahanan jika dirasakan perlu," tambahnya.

"Memandangkan tempoh maksimum tahanan reman ialah 15 hari mengikut CPC, ianya mungkin terlalu luas dan kurang asas perundangan. Ini sebabnya mengapa CA perlu segera dikaji semula," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata CA telah memberi definasi yang jelas mengenai 'jenayah berat' yang bermaksud jenayah yang serius dan berbahaya kepada nyawa yang boleh membawa kematian, senjatapi, ancaman keselamatan, penyalahgunaan dadah dan penculikan.