4 pelajar, pemandu bas parah rempuh treler di LPT2
Empat orang pelajar dan seorang pemandu bas persiaran parah apabila bas mereka merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 292.2, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) di Kemaman awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 pagi itu, bas dua tingkat tersebut yang membawa 54 pelajar dan tujuh guru dari Sekolah Menengah Islam Hira' Jeram, Kuala Selangor dalam perjalanan menuju Kuala Terengganu.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Said Ibrahim berkata bas tersebut telah melanggar belakang treler yang membawa kayu dan papan.
"Rombongan sekolah berkenaan ingin berkunjung ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) di Kuala Terengganu untuk lawatan sambil belajar.
"Bas dan treler itu datang dari arah Kuantan menuju Kuala Terengganu, namun pemandu bas tersebut dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh belakang treler tersebut," katanya pada sidang media.
Para pelajar itu Abdullah Raduan, Mohd Haziq Fikri Hairuddin dan Muammar Mohd Khairi masing-masing berusia 16 tahun cedera parah pada kepala dan dikejar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Manakala pemandu bas berkenaan Azman Yahya, 41, dari Klang, Selangor cedera pada perut dan kepala sementara seorang lagi pelajar Nur Fadhillah Mohd Raduan cedera di muka dan kedua-duanya dirawat di Hospital Kemaman.
Pemandu treler terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
-Bernama

