Dua lagi tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kedua-duanya aktivis Pemuda Parti Keadilan Nasional, belum menerima keizinan lawatan keluarga walau telah ditahan selama 45 hari.

R Vasanthi, isteri N Gobalakrishnan memberitahu malaysiakini hari ini, seorang pegawai polis di Bukit Aman memberitahunya tadi: "Tunggu sehingga selesai permohonan habeas corpus ."

Keputusan permohonan itu, yang difailkan oleh isteri dua aktivis Pemuda itu pada 14 April lalu, akan diumumkan Rabu depan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor.

Sementara isteri Abdul Ghani Haroon gagal dihubungi.

Setakat ini polis telah membenarkan lawatan keluarga lapan daripada 10 pemimpin Keadilan dan aktivis reformasi yang ditahan antara 10 hingga 26 April lalu.

Hari ini seorang lagi tahanan ISA, Badaruddin Ismail, dilawat keluarganya selama sejam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bermula jam 9.30 pagi.

Isterinya Fatimah Abdul Majid berkata mereka hanya berbincang hal-hal keluarga.

"Dia kelihatan sihat, nampak letih sedikit tetapi tidak ada tanda-tanda dipukul," kata Fatimah, sambil menambah berat badan Badaruddin, yang juga dikenali Pak Din, menurun.

Pak Din, aktivis Suara Rakyat Malaysia (Suaram), ditahan 26 April lalu ketika sedang bersarapan di sebuah gerai di medan selera Taman Melawati, Hulu Kelang, Selangor.

"Dia gembira dapat melihat cucu-cucunya," kata isteri Pak Din lagi.

Turut bersama rombongan itu, anak-anak mereka Erwan, Emelia dan Edura.

Sejak dua hari lalu polis membenarkan lawatan keluarga-keluarga Naib Presiden Keadilan Tian Chua dan penulis kolum malaysiakini Hishamuddin Rais.

Mereka yang telah diberikan kebenaran lawatan sebelum ini adalah pengendali laman web 'Kempen Bebaskan Anwar' (FAC) Raja Petra Raja Kamaruddin dan pemimpin-pemimpin Keadilan Dr Badrul Amin Bahron, Mohamad Ezam Mohd Nor, Saari Sungib dan Lokman Noor Adam.