KJ: Saya cuba elak kenyataan 'tak sensitif orang muda'
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan yang "tidak masuk akal" serta tidak sensitif terhadap golongan muda.
Khairy berkata selaku menteri, beliau akan cuba mengelak untuk memberi respon yang tidak menjiwai apa yang dihadapi golongan muda pada masa kini.
"Saya sebagai menteri saya sangat berwaspada. Saya tak nak buat ayat 'kalau tak suka gaji yang ada sekarang, sila buka gerai pasar malam'.
"Malam ni KJ (Khairy Jamaluddin) akan kena hentam seminggu," katanya tanpa merujuk mana-mana individu,
"Jadi kita nak elak dari beri respon yang tak masuk akal. Respon yang sangat tak sensitif dengan orang muda," katanya sambil mendapat tepukan dan sorakan hadirin.
"Mungkin dari sudut pandang ada yang kata, menteri mudahlah dia cakap. Tapi ini seolah-olah kita tak menjiwai apa yang dihadapi oleh orang muda pada hari ini."
Khairy berkata demikian ketika berucap dalam majlis penutupan Simposium Pengurusan Ringgit (SUPER) di Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum itu, ketua pemuda Umno itu menyarankan kepada golongan muda agar mencari alternatif bagaimana untuk menjana pendapatan yang boleh digunakan.
Katanya, dalam keadaan ekonomi sekarang, kenaikkan gaji serta peluang pekerjaan berkurangan.
"Hari ini kenaikkan gaji kurang dan inflasi laju dan kita kena pastikan perkembangan ekonomi pesat dan banyak syarikat dapat tawar gaji tinggi.
"Kita juga mesti lihat bagaimana dapat tambah pendapat dan jaga pendapatan yang boleh guna pada orang muda. Mungkin nampak mudah tapi susah nak diamalkan," katanya.

