Kerajaan tidak akan menyiasat laporan dari Amerika Syarikat yang mengatakan seorang yang namanya sama dengan Perdana Menteri Abdullah Datuk Seri Ahmad Badawi terbabit dalam komplot penipuan penjualan minyak dengan bekas kerajaan Iraq.

"Tuduhan itu tidak benar, jadi mengapa kita perlu menyiasatnya," kata Menteri Luar Datuk Seri Hamid Albar kepada pemberita di lobi Parlimen apabila ditanya mengenai perkara itu.

Katanya, Kementerian Luar juga tidak menyiasat kaitan Malaysia sepertimana yang disebut dalam laporan tersebut ataupun menghantar nota bantahan kepada Amerika.

Selain 'Abdullah Badawi', turut dinamakan dalam laporan tersebut ialah syarikat minyak negara, Petronas, dan seorang bekas duta Malaysia, dua syarikat Malaysia dan seorang pendatang.

"Isu ini telahpun dilaporkan dalam akhbar, tetapi tidak ada sebarang bukti. Ianya hanya dipetik oleh pihak media, Saya rasa kita tidak perlu memberi reaksi (mengenainya).

"Biarkanlah ia begitu kerana tidak perlu untuk terus menerus bercakap mengenai perkara itu," tambah beliau.

Bagaimanapun, kenyataan Syed Hamid hari ini bercanggah dengan kenyataannya sebelum ini apabila isu tersebut mula-mula mendapat perhatian media, berikutan tersiarnya laporan ekslusif mengenainya dalam malaysiakini pada 8 October lalu.

'Tiada bukti langsung'

Pada hari berikutnya, Perdana Menteri sendiri menafikan pembabitannya dalam sebarang kegiatan haram membabitkan program penjualan minyak untuk makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang kini sudahpun dihentikan.

Beliau mengarahkan supaya siasatan dijalankan untuk mengetahui bagaimana nama beliau boleh dikaitkan manakala Syed Hamid berkata kementeriannya juga akan menjalankan siasatan kerana tiada bukti untuk mengaitkan nama Abdullah dalam laporan tersebut.

Syed Hamid juga berkata pihak berkuasa akan menyiasat malaysiakini kerana melaporkan isu tersebut untuk mengetahui 'motifnya mengaitkan nama Perdana Menteri dalam perkara tersebut".

Laporan yang dikeluarkan oleh Kumpulan Tinjauan Iraq (ISG) pada 6 Oktober lalu, telah menyenaraikan seorang rakyat Malaysia bernama 'Abdullah Badawi' yang telah diberi baucer untuk menjual dua juta tong minyak Iraq melalui sebuah syarikat bernama Tradeyear.

Laporan tersebut, yang tidak menyebut identitinya sebagai Perdana Menteri Malaysia, mendakwa lelaki tersebut telah menjual 1.95 juta tong dan dianggarkan mendapat keuntungan sehingga AS$0.65 setong.

Laporan ISG itu berkata Saddam Hussein telah menggunakan syarikat-syarikat dan kerajaan asing untuk mengumpulkan dana secara haram dan melanggar sekatan PBB dan telah membayar berjuta-juta Dolar secara tunai dan baucer eksport petroleum.

Laporan tersebut turut mengaitkan nama pemimpin terkenal seperti bekas Presiden Indonesia Megawati Sukarnoputri, Menteri Dalam Negeri Perancis Charles Pasqua, bekas calon presiden Russia Vladimir Zhirinovsky dan bekas ketua program minyak untuk makanan PBB Benon Sevan yang didakwanya mendapat faedah daripada kegiatan tersebut. Bagaimanapun, mereka menafikan dakwaan tersebut.

Mangsa terbaru

Seorang lagi yang didakwa turut mendapat faedah daripada kegiatan tersebut ialah anak Setiausaha Agung PBB Kofi Annan Kojo demikian menurut penal bebas PBB yang diketuai oleh bekas pengerusi Simpanan Persekutuan Paul Volcker.

Kojo dikatakan telah menerima bayaran seawal tahun ini dari seorang kontraktor utama program minyak untuk makanan.

Annan juga menafikan yang beliau turut terbabit dalam memberi kontrak kepada syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam program tersebut, tetapi melahirkan rasa 'kecewanya' dan mengakui berita itu telah menimbulkan persepsi berlakunya 'percanggahan kepentingan dan salahlaku' di PBB.

Bagaimanapun, Annan enggan mengulas gesaan Senator Amerika Norm Coleman supaya beliau meletakkan jawatan.

Ketika diminta mengulas mengenainya hari ini, Syed Hamid melahirkan sokongannya kepada Annan dan menggesa masyarakat antarabangsa 'tidak begitu cepat menjatuhkan hukuman".