Abim tolak pandangan Anwar
Bertentangan dengan pandangan pengasasnya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) tidak melihatkan sebarang keperluan baginya untuk mengubah pendekatannya kepada pendekatan politik dalam memperjuangkan isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan awam.
Bertentangan dengan pandangan pengasasnya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) tidak melihatkan sebarang keperluan baginya untuk mengubah pendekatannya kepada pendekatan politik dalam memperjuangkan isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan awam.
Ketika menegaskan demikian, Setiausaha Agung Abim, Azizuddin Ahmad juga menegaskan bahawa pergerakan itu tidak pernah berganjak dalam pendiriannya dalam menyuarakan isu-isu fundamental seperti rasuah, ketidakadilan dan penghakisan nilai demokrasi.
"Kami juga boleh bersifat politik sepertimana badan-badan lain, tanpa dilihat berpihak kepada mana-mana parti politik," kata Azizuddin ketika dihubungi.
"Jika anda melihat apa yang Abim lakukan, kami tidak pernah terkecuali dalam menyuarakan isu-isu fundamental seperti rasuah dan ketidakadilan. Kami masih merupakan badan yang memperjuangkan isu-isu sama ada di dalam dan luar negara," tambahnya.
Azizuddin juga menegur pihak media yang menurutnya bersikap 'memilih' dalam menyiarkan kenyataan-kenyataan Abim mengenai isu-isu berhubung soal diskriminasi dan demokrasi di negara ini.
Keadaan itu, katanya, menyebabkan Abim dilihat seperti tidak lantang dalam memperjuangkan isu-isu sedemikian.
Bersikap berkecuali
"Apa gunanya terlalu lantang jika media-media tertentu tidak memberi liputan kepada kita? Kalau kami 'menjerit' sekalipun, orang tidak akan mendengarnya kerana mereka (media) tidak menyiarkan (kenyataan kami)," katanya.
Bagaimanapun, Azizuddin mengaku kemungkinan perlembagaan Abim yang bersifat berkecuali dalam soal politik, membuatnya tidak begitu menonjol, kerana pemegang jawatan dalam pergerakan itu tidak boleh memegang jawatan dalam parti politik.
"Itu merupakan dasar kami selama ini. Kami sentiasa berhati-hati ketika melewati garisan antara politik dan pada masa yang sama tidak mahu dilihat sebagai bersikap memihak," kata Azizuddin.
Minggu lalu, dalam wawancaranya dengan malaysiakini, Anwar berkata Abim sepatutnya lebih agresif dalam menanangi isu-isu politik yang berkaitan dengan kepentingan awam.
"Saya tidak boleh menerima pendirian sesetengah rakan lama saya, contohnya Abim yang cuba meyakin saya bahawa mereka bebas daripada politik. Saya memberitahu mereka, ia tidak dapat dipertahankan mengikut tanggapan Islam kerana jika anda bercakap mengenai 'yang terbaik', anda bercakap mengenai sebuah masyarakat yang anggotanya yang bermoral tinggi yang bermakna tidak berlaku rasuah," kata Anwar dalam wawancara tersebut.
Anwar juga berkata, beliau telah bertemu dengan delegasi Abim selepas beliau dibebaskan dan menurutnya 'pemimpin-pemimpin muda' nampak bersetuju dengan pandangannya itu, manakala tiga pemimpin kanan yang pernah berurusan dengan Dr Mahathir Mohamad hanya berdiam diri.
Azizuddin bagaimanapun menafikan wujudkan sebarang perbezaan pendapatan dalam Abim di antara pemimpin 'lama' dan 'baru'.
Konsensus
Menurutnya, ahli-ahli Abim bebas memberi pandangan, tetapi setiap dasar diputuskan secara konsensus antara semua pihak yang terbabit dalam proses penggubalan dasar pergerakan itu.
"Tidak wujud kumpulan 'ahli lama' dan 'ahli baru'. Perbezaan pendapat memang berlaku dalam semua pertubuhan. Kita tidak menghalang sesiapapun untuk memberi pandangan mereka. Setiap orang berhak untuk berbincang dan menyatakan pandangan mereka.
"Tetapi apa juga yang kita putuskan untuk dilakukan, dibuat secara konsensus. Apabila Abim sudah memutuskannya, maka kami semua mematuhinya. Setiap keputusan adalah muktamad," katanya.
Azizuddin berkata, walaupun strateginya mungkin berubah mengikut keadaan semasa, tetapi Abim tidak merasakan perlu untuknya mengubah pendekatan yang diamalkannya sekarang walaupun cadangan tersebut datangnya dari seseorang yang dianggap sudah menjadi sebahagian daripada Abim.
"Beliau pernah berada di dalam kerajaan, jadi mungkin beliau lebih tahu daripada kita. Beliau memang konsisten dalam isu-isu seperti keadilan dan kebenaran. Kita juga bercakap mengenai keadilan dan kebenaran. Sesiapa sahaja yang memperjuang kebenaran, akan berbicara dalam bahasa yang sama.
Tetapi, tegasnya, Abim itu bukan hanya sekadar mengenai Anwar.

