Seorang suspek wanita berusia 21 tahun yang terbabit dalam kes buli bulan lepas, ditahan reman selama empat hari mulai semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Rohaimi Md Isa berkata suspek berkenaan yang dikenali sebagai Nija, ditahan di sebuah restoran di Panji di Kota Bharu pada 10.30 malam kelmarin.

"Sehingga kini, seorang lagi suspek dikenali sebagai 'Mokbiey' berusia 20-an masih dicari," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret Amni Mat Jahari.

"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan mangsa," katanya.

Bulan lepas, seorang gadis berusia 20-an dipukul beberapa wanita yang dikatakan berpunca daripada salah faham, dan mangsa juga didakwa menjalin hubungan sulit dengan tunang serta bekas suami salah seorang suspek.

Video mangsa yang dipukul turut diviralkan di laman sosial Facebook.

Suspek utama kes itu, Ika Ekora atau nama sebenar Nurul Atikah Hanafi, 27, didakwa di Mahkamah Majistret Kota Baharu pada 30 Oktober lepas.

- Bernama