Mursyidul AM PAS Datuk Haron Din menegaskan kerjasama secara khusus antara PAS dan Umno boleh berlaku namun begitu ia ditentukan oleh keadaan dan perkembangan politik negara.

Walaupun PAS tiada masalah berkerjasama dengan Umno demi kebaikan dan kebajikan, tokoh ulama itu berkata setakat ini parti belum membuat keputusan muktamad berhubung perkara tersebut, lapor Utusan Malaysia hari ini.

"Adapun (kerjasama) secara khusus, sejauh mana kerjasama yang dikatakan itu berlaku atau akan berlaku, bergantunglah dengan perkembangan namun buat sementara ini, sampai hari ini kita tidak membuat sebarang keputusan muktamad.

"Sejauh mana dan bagaimana untuk melakukan kerjasama itu, mungkin keadaan mementukannya. Kedua-dua (parti) sememangnya mungkin bekerjasama atau mungkin tidak bekerjasama, bergantunglah kepada sejauh mana kebajikan atau kebaikan yang boleh diterima demi mencapai ketakwaan kepada Allah," kata seperti dilapor akhbar arus perdana itu.

Laporan itu menyebut, Haron mengulas kenyataan Hadi bahawa PAS sedia bekerjasama dengan BN selagi tindakan itu menguntungkan parti dan demi menegakkan Islam sekaligus menyifatkan parti Islam itu bukan parti jumud dan sedia bekerjasama dengan semua pihak.

Isu kerajaan perpaduan timbul semula selepas bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa mendakwa Hadi cuba membentuknya dengan mahu bekerjasama dengan Umno di Selangor sewaktu krisis menteri besar tahun lalu. Bagaimanapun, Hadi menafikan dakwaan itu.

Akhbar itu juga melaporkan Haron menasihati anggota PAS atau bukan ahli dan menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) agar tidak saling menyerang sehingga melemparkan tuduhan dan fitnah.

Laporan itu menyebut, Haron berkata walaupun sudah tidak bersama ia tidak bermakna permusuhan perlu diwujudkan sebaliknya wajar mengekalkan persahabatan.

"Saya menyeru ahli PAS jangan menyerang sesiapa, sama juga saya menyeru kepada bukan PAS supaya tidak menyerang PAS.

"Dalam bermusuhan, menyerang dengan kata-kata yang tidak sepatutnya bukan dari akhlak Islam tetapi menasihati apa sahaja yang boleh membawa kepada kebaikan adalah dari ajaran Islam.

"Jauhilah fitnah kerana akibatnyakami tidak dapat menanggung balasannya," katanya dipetik.