Polis mengesahkan kejadian membaling daging babi ke dua buah surau berlaku di Batu Pahat, Johor pada Sabtu dan Ahad lalu.

Portal Utusan Malaysia Online memetik Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata suspek ditahan jam 11.15 malam semalam selepas pihak polis mendapati lelaki itu berada dalam keadaan mencurigakan.

“Suspek sempat melarikan diri ketika dihampiri anggota polis untuk diperiksa dan berlaku sedikit pergelutan sebelum dia berjaya ditahan bersama plastik berisi ketulan daging babi.

“Siasatan awal mendapati suspek mendakwa melakukan perbuatan itu kerana didorong oleh suara halus yang menyuruhnya bertindak sedemikian dan kita syak ia kesan halusinasi akibat dadah kerana suspek mempunyai 11 rekod berkaitan dadah,” katanya pada sidang akhbar, di Batu Pahat hari ini.

Menurut akhbar itu, lelaki berusia 46 tahun itu membaling tiga ketulan kecil daging babi ke beranda Surau Arab pada Sabtu lalu dan mengulangi perbuatan itu keesokannya apabila jemaah surau menemukan empat lagi cebisan berdekatan tempat mengambil wuduk.

Ia juga melaporkan jemaah Surau Al-Falah yang terletak kira-kira 600 meter dari Surau Arab turut terkejut apabila menemukan seketul daging babi sebesar tapak tangan di atas lantai pekarangan surau yang dipercayai oleh perbuatan individu sama pada Sabtu lalu.

Akhbar milik Umno itu juga memetik Din Ahmad berkata, polis akan melakukan siasatan lanjut kerana khuatir sekiranya ada unsur-unsur lain yang mendorong perbuatan tersebut memandangkan melibatkan sensitiviti agama.

“Setakat ini tiada sebarang insiden sama ada pergaduhan dan sebagainya antara jemaah dan penduduk sekitar, unsur perkauman juga tidak dikesan dalam kes ini,” tegasnya.

Beliau berkata, suspek kini direman selama seminggu dan akan dihantar untuk menjalani pemeriksaan mental serta kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.