'PAS tak undi tolak bajet sama seperti sokong GST'
DAP menyalahkan PAS atas kegagalan pembangkang menolak Belanjawan 2016 melalui undi di Dewan Rakyat semalam.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata kegagalan menolak belanjawan juga menunjukkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berjaya mendapatkan sokongan PAS.
Walaupun menolak cukai barangan dan perkhidmatan (GST), PAS berpendirian masih terdapat aspek dalam bajet yang memberi manfaat kepada orang ramai.
“Tetapi saya tidak dapat faham bagaimana ia memberi manfaat kepada rakyat ketika mereka terkesan dengan GST selain tiada langkah untuk memberhentikan kejatuhan nilai ringgit.
“Kamu tidak boleh sokong belanjawan tanpa sokong GST, atau isu skandal kewangan yang menyebabkan kejatuhan ringgit dan kelembapan ekonomi,” katanya.
Justeru, kata Lim ( gambar ), pendirian PAS itu sama seperti menerima dasar-dasar semasa kerajaan BN.
“Ini secara tidak langsung bermaksud mereka OK dengan skandal kewangan melibatkan 1MDB dan derma RM2.6 bilion ke dalam akaun bank Najib,” katanya.
Seramai 29 anggota parlimen PKR, 35 DAP, enam Parti Amanah Negara (AMANAH) dan seorang Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengundi menolak belanjawan semalam.
Terdapat juga tiga anggota parlimen PAS menongkah arus dengan bersama barisan pembangkang lain.

