Anwar: Orang Islam juga mesti kecam penindasan di negara sendiri
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata orang Islam yang mengecam dasar-dasar Amerika Syarikat juga mesti berani untuk mengecam penindasan yang dilakukan oleh kerajaan di negara mereka sendiri.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata orang Islam yang mengecam dasar-dasar Amerika Syarikat juga mesti berani untuk mengecam penindasan yang dilakukan oleh kerajaan di negara mereka sendiri.
Berucap pada hari kedua lawatan lima harinya ke Indonesia, beliau juga menggesa negara-negara Islam supaya turut melakukan muhasabah diri ketika mereka mengecam hebat kejadian seperti kekejaman tentera Amerika terhadap tahanan perang Iraq.
"Kita mengecam pencerobohan Amerika di Iraq, tindakannya mempertahankan regim Zionis Israel yang menduduki bumi Palestin kerana perbuatan tersebut bercanggah dengan nilai-nilai moral dan keadilan," katanya.
"Kita menolak politik hegemoni Amerika, kita menolak keganasan dan penindasan mereka, tetapi kita perlu bertanyakan soalan ini, apakah tidak wujud Abu Ghraibs di negara-negara Islam?" katanya merujuk kepada sebuah penjara di Iraq yang digunakan oleh tentera Amerika untuk menyeksa tahanan di situ.
"Kita memberontak kerana Iraq di bawah pendudukan Amerika, tetapi kita membiarkan penindasan Saddam Hussein di Iraq dan kita berdiam diri mengenai kekejaman yang dilakukan terhadap beratus-ratus tahanan di dunia Islam," katanya.
Anwar yang menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika pemerintahan Dr Mahathir Mohamad, dipenjarakan pada 1998 kerana didakwa meliwat pemandunya, dan kemudiannya didakwa menyalahgunakan kuasanya untuk menutup perbuatan tersebut.
Dakwaan direka
Beliau dan badan-badan hak asasi manusia mendakwa bahawa tuduhan tersebut sengaja direka untuk menghalang beliau daripada mencabar Dr Mahathir, yang bersara Oktober tahun lalu selepas 22 tahun menjadi Perdana Menteri.
Mahkamah Persekutuan Malaysia kemudiannya menolak sabitan terhadap Anwar kerana tuduhan tersebut gagal dibuktikan tanpa ragu-ragu, serta menegur cara pihak polis dan pendakwaraya mengendalikan kes tersebut.
Anwar juga menggesa kerajaan Malaysia supaya membebaskan atau mendakwa di mahkamah terbuka, mereka yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tanpa dibicarakan.
Mereka termasuk lebih 80 tahanan yang disyaki anggota kumpulan militan Islam yang terbabit dalam kumpulan pengganas, antaranya dikatakan anggota Jemaah Islamiah yang dikaitkan dengan Al-Qaeda, yang bertanggungjawab dalam pengeboman di Indonesia, termasuk di Bali pada tahun 2002.
Anwar juga berkata, beribu-ribu pekerja asing telah dipenjarakan dan dirotan kerana tinggal secara haram di Malaysia.
"Ketika saya berada di dalam kerajaan beberapa tahun lalu, saya tidak memenjarakan sesiapa pun," katanya.
Anwar kini berada di Indonesia untuk bertemu tokoh-tokoh ternama Indonesia termasuk bekas pemimpin politik. Pihak penganjur lawatannya ke republik itu juga sedang berusaha untuk mengatur pertemuan Anwar dengan Presiden Indonesia Bambang Yudhoyono Jumaat ini.
- AFP

