Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini membidas ADUN Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham yang mendakwa penganjuran Dialog Pembangunan Antarabangsa Pangkor (PIDD) merugikan dan tidak memberi manfaat kepada Perak.

Menyifatkan tuduhan wakil rakyat DAP itu mengikut perasaan dan bukan pertama kali dilakukan oleh beliau, Zambry menegaskan apabila sesuatu persidangan dianjurkan, ia semestinya memberi manfaat kepada negeri kerana persidangan merupakan satu konvensyen.

"Beberapa fakta dunia, termasuk kedutaan-kedutaan yang hadir pada PIDD, memberi pengiktirafan kepada kita tetapi dia (Ngeh Koo Ham) mengatakan ia tidak memberi manfaat kepada kita," katanya menjawab soalan tambahan Ngeh di sidang Dewan Undangan Negeri di Ipoh hari ini.

Ketika mengemukakan soalan tambahan itu, Ngeh mendakwa PIDD yang diadakan sejak tiga tahun lepas tidak membawa manfaat kepada Perak kerana laporan terkini menunjukkan pendapatan isi rumah rakyat Perak adalah kedua terendah dalam Malaysia.

Zambry berkata fokus utama yang dibincangkan pada PIDD itu adalah berkaitan aspek kemiskinan tegar dan pendapatan.

"Bagaimana kita nak beri tumpuan khusus terhadap pembasmian kemiskinan khusus dalam konteks pembasmian kemiskinan tegar. Itu sepatutnya yang dibicarakan bukan bermain dengan angka yang Perak ini adalah negeri kedua terendah, dia tidak lihat dari aspek-aspek lain," katanya.

Terdahulu, menjawab soalan asal Datuk Rashidi Ibrahim (BN-Pasir Panjang), Zambry berkata secara keseluruhannya, penganjuran PIDD dapat memberi impak tinggi dan inklusif kepada Perak dan Malaysia secara amnya kerana pelbagai maklum balas positif diterima daripada pelbagai pihak seperti institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta swasta.

"PIDD telah dapat membantu mempromosikan Perak dari pelbagai aspek termasuk pelancongan, pentadbiran negeri, pelaburan dan peluang perniagaan melalui aktiviti pameran yang diadakan melibatkan penyertaan pameran pelbagai agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan negeri," katanya.

Zambry berkata PIDD yang berlangsung dari 19 hingga 21 Oktober lepas memfokuskan empat bidang utama iaitu ekonomi dan pertumbuhan inklusif, masyarakat berilmu dan berinovasi, sosial dan budaya serta kelestarian alam sekitar.

"Jumlah peserta keseluruhan PIDD tahun ini adalah seramai 2,250 orang melibatkan penyertaan peserta dalam negara dan 17 negara asing antaranya Indonesia, Thailand, Filipina, Amerika, Turki, Australia, Jepun dan India," katanya.

- Bernama