Kes mutaah: Bekir kata sudah bayar kereta, rumah
Anak yang dipertua Sarawak Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib tidak perlu membayar mutaah kepada bekas isterinya kerana sudah membayar kereta dan rumahnya.
Perkara itu diberitahu oleh peguam Mahmud Abu Bekir, Zainul Rijal Talha, kepada Mahkamah Tinggi Syariah hari ini.
Zainul Rijal berhujah mempersoalkan ketepatan penilaian akauntan berkanun Andrew Heng daripada Ferrier Hodgson kerana ia disertai oleh banyak penafian seperti tergambar dalam dokumen-dokumennya.
Zainul Rijal berkata penilaian Heng bukan untuk mutaah tetapi kes lain (tuntutan harta sepencarian) selain tidak ditandatangani, sekali gus menimbulkan keraguan pada keaslian penilaian itu.
Beliau juga berkata Heng tidak mematuhi piawaian seperti menyerahkan gambar tempat penilaian, peta harta tanah serta sijil daripada pihak berkuasa tempatan.
Semua dokumen itu, kata Zainul Rijal, penting bagi memastikan penilaian dibuat dengan teratur mengikut piawaian selain tidak menimbulkan keraguan dalam kes itu.
Zainul Rijal juga berkata beban pembuktian terletak di bahu plaintif yang membuat dakwaan itu dan mahkamah harus mengambil kira keadaan tiada bukti diserahkan.
Beliau berkata demikian dalam tuntutan mutaah RM100 oleh Shahnaz A Majid, kakak kepada ratu jazz negara Shiela Majid.
Pasangan itu berkahwin pada Jan 1992 dan bercerai secara rasmi pada 11 Mei 2011.
Mereka bagaimanapun tidak tinggal bersama selama 11 tahun sejak 1999.

