Tempoh pengampunan dilanjutkan
Tempoh pengampunan bagi pendatang tanpa izin Indonesia telah dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.
Tempoh pengampunan bagi pendatang tanpa izin Indonesia telah dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.
Menurut Bernama, Perkhabaran yang sememangnya diharapkan oleh pemerintah Indonesia itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jakarta hari ini.
Bercakap dalam sidang media bersama Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla, Najib berharap pendatang tanpa izin Indonesia akan mengambil peluang daripada lanjutan tempoh tersebut untuk kembali ke tanahair mereka.
"Jika ada tindakan oleh kerajaan Malaysia terhadap pendatang tanpa izin Indonesia selepas tarikh itu, pemerintah Indonesia juga meminta supaya pertimbangan kemanusiaan diberikan," katanya. Sebelum ini Najib dan Jusuf mengadakan perbincangan dua hala di Istana Wakil Presiden.
Dalam satu kenyataan bertulis yang menyusul, Najib berkata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerima rayuan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan kerajaan Malaysia bersetuju untuk melanjutkan tempoh pengampunan tersebut.
Menurut perangkaan yang disertakan, sejumlah 118,754 pendatang tanpa izin telah pulang ke negara masing-masing dari 29 Oktober hingga 6 Disember, dengan jumlah warga Indonesia sahaja berjumlah 101,668 orang sehingga 6 Disember.
Hubungan baik
Sementara itu, Jusuf ketika ditanya wartawan selepas sidang media bersama itu, berkata tenaga kerja Indonesia tanpa izin yang terus berada di Malaysia selepas 31 Disember ini perlu menanggung sendiri risiko tindakan oleh kerajaan Malaysia.
Sambil menyambut baik keputusan Malaysia itu, beliau berkata lanjutan tempoh itu membolehkan urusan pulang tenaga kerja Indonesia tanpa izin dilaksanakan dengan lebih teratur.
"Pemerintah (Indonesia) tidak boleh memberi jaminan tidak akan berlaku kemasukan pekerja tanpa izin Indonesia ke Malaysia selepas 31 Disember itu," katanya.
Kepada soalan sama ada masalah tenaga kerja Indonesia tanpa izin itu menjejaskan hubungan dua hala Malaysia-Indonesia, Naib Presiden Indonesia itu berkata hubungan kedua-dua negara memang sudah sentiasa baik walaupun sebelum tempoh pengampunan itu dilanjutkan.

