Kit Siang: Bentangkan Konvensyen PBB mengenai Rasuah di Parlimen
Konvesyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Rasuah hendaklah dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat sekarang untuk pengesahan, kata Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang today.
Konvesyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Rasuah hendaklah dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat sekarang untuk pengesahan, kata Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang today.
Esok 9 Disember merupakan ulangtahun pertama konvensyen tersebut dibuka untuk ditandatangan di Merida, Mexico.
Malaysia adalah antara 113 negara yang menandatangani konvensyen tersebut dalam usaha membanteras rasuah di peringkat global.
Bagaimanapun, katanya, konvensyen tersebut memerlukan pengesahan 30 negara untuk membolehkan ianya dikuatkuasakan dan menjadi sebahagian undang-undang.
Setakat ini, hanya 12negara yang telah mengesahkan konvensyen tersebut.
Menurut Lim, Malaysia sebagai pengerusi Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) sepatutnya mengetuai usaha untuk mendapatkan negara-negara lain mengesahkan konvensyen tersebut.
445 tangkapan
"Konvensyen tersebut sepatutnya dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat sekarang untuk disahkan, supaya Malaysia menjadi antara 30 negara pertama yang menguatkuasakannya," tambahnya.
Sidang Dewan Rakyat akan ditangguhkan Selasa depan.
Lim selaku Ketua Pembangkang, telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam berhubung perkara tersebut.
Semalam, Perdana Menteri berikrar tidak akan bertolak ansur dalam usahanya untuk membasmi rasuah di negara ini, yang menjadi antara faktor utama kemenangan besar beliau dalam pilihanraya umum lalu.
Beliau juga memberitahu bahawa Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah membuat 445 tangkapan dalam 10 bulan pertama tahun ini, berbanding 339 kes tahun lalu.
Bagaimanapun, pengkritiknya masih lagi ragu-ragu dengan keberkesanan kempen tersebut yang menurut mereka hanya mensasarkan 'ikan kecil' sahaja.
Abdullah juga tidak menandatangani program ikrar anti-rasuah yang diperkenalkan oleh Transparency International (TI) untuk menyatakan komitmen mereka dalam membanteras rasuah.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh TI Jun lalu, badan itu melahirkan rasa kecewanya kerana daripada 66 anggota kabinet, hanya seorang menteri dan sembilan timbalan menteri yang menandatangani borang ikrar tersebut April lalu.
Antara yang tidak menandatanganinya ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

