Tahanan ISA rancang tulis buku
Seorang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Hishamuddin Rais, yang juga penulis malaysiakini , berhasrat menulis pengalamannya ditahan di bawah akta itu apabila dibebaskan nanti.
Seorang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Hishamuddin Rais, yang juga penulis malaysiakini , berhasrat menulis pengalamannya ditahan di bawah akta itu apabila dibebaskan nanti.
Hishamuddin memaklumkan cadangannya itu kepada rombongan anggota keluarganya yang dibenarkan melawat tadi selepas beliau ditahan selama 44 hari sejak 10 April lalu.
"Dia bercadang menulis buku tentang tempoh penahanannya dan menyampaikan salamnya kepada sahabat dan kenalannya," kata kakaknya Khamsiah kepada malaysiakini selepas pertemuan itu. Beliau juga berkata adiknya itu sihat walau kelihatan pucat dan kurus.
Selain Khamsiah, bapanya Rais Abdul Manaf dan adik-beradiknya Hamdah, Nordin dan Mazinah bertemu Hishamuddin selama 45 minit di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bermula jam 3 petang tadi.
Adiknya Nordin berkata pertemuan itu diadakan di sebuah bilik kecil di bangunan IPK dan beberapa kotak minuman serta buah-buah disediakan di atas meja.
Empat anggota polis berpakaian biasa, dipercayai daripada pasukan Cawangan Khas, berada di dalam bilik itu, sementara lima lagi menunggu di luar.
Apabila ditanya keadaan fizikal Hishamuddin, Khamsiah berkata adiknya itu memakai seluar dan kemeja lengan, dan menambah adiknya mengalami kesan ruam di kulit bahagian belakang.
"Dia dibenarkan menerima rawatan kulitnya itu daripada doktor setiap Sabtu tetapi kami tidak pasti sama ada dia pernah mengalami masalah kulit itu sebelum ini (ditahan). Kami tidak berani bertanya lagi," kata kakak Hishamuddin lagi.
"Dia beritahu soal siasat sudah selesai dan dia fikir akan dibebaskan tidak lama lagi tetapi tidak pasti nasib tahanan-tahanan yang lain. Dia juga berkata dia tidak terlibat dengan sebarang aktiviti politik.
"Dia berpesan agar tidak mendedahkan perbualan itu kepada wartawan dan jangan mempolitikkan isu (penahanannya) itu tetapi saya di sini berhasrat untuk mendedahkan hal sebenar daripada pertemuan tadi," kata Khamsiah lagi, sambil menambah polis juga memberikan Hishamuddin buku agama untuk dibaca.
'Tidak seperti biasa'
Sementara itu Nordin pula berkata abangnya "bercakap tidak seperti biasa."
"Saya kenal lama dia dan tahu bila dia bercakap tidak seperti lazim. Nampak macam dia berlakon," katanya lagi.
Khamsiah juga berkata Hishamuddin juga bertanya tentang kucing-kucingnya dan berpesan kepada bapanya agar menyampaikan salam kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Rais Yatim.
Bapa Hishamuddin pernah bergiat bersama Umno dan dikenali mempunyai hubungan rapat dengan menteri itu.
Bapa saudara penulis dan pengarah filem itu, Jalaludin Abdul Manaf pula berkata, beliau bercadang menyerahkan sekeping surat kepada Hishamuddin tetapi polis melarangnya berbuat demikian. "Malah, polis tidak benarkan saya atau isteri saya melihatnya," rungutnya.
Khamsiah berkata keluarganya bercadang memohon untuk melawat Hishamuddin sekali lagi.
Setakat ini tujuh daripada 10 tahanan ISA dibenarkan lawatan keluarga sejak 3 Mei lalu.
Dua aktivis Pemuda Parti Keadilan Nasional, N Gobalakrishnan, Abdul Ghani Haroon dan aktivis hak asasi Badaruddin Ismail belum dibenarkan berbuat demikian walau masing-masing ditahan sejak 10, 11 dan 26 April lalu.
Semalam polis membenarkan keluarga Naib Presiden Keadilan Tian Chua melawat.
Mereka yang telah diberikan kebenaran lawatan sebelum ini adalah pengendali laman web 'Kempen Bebaskan Anwar' (FAC) Raja Petra Raja Kamaruddin dan pemimpin-pemimpin Keadilan Dr Badrul Amin Bahron, Mohamad Ezam Mohd Nor, Saari Sungib dan Lokman Noor Adam.

