12 tahanan ISA yang didakwa merusuh, cedera dipukul
Seramai 12 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) cedera empat daripadanya cedera parah dipukul oleh pasukan keselamatan apabila mereka merusuh di Kem Tahanan Kamunting, pagi ini.
Seramai 12 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) cedera empat daripadanya cedera parah dipukul oleh pasukan keselamatan apabila mereka merusuh di Kem Tahanan Kamunting, pagi ini.
Mereka yang cedera parah itu dikenalpasti sebagai Wan Hamin Wan Hamat, Ibrahim Ali, Hashim Talib dan Danny Ofesio. Mereka dipukul ketika tangan mereka bergari.
Lima tahanan lain yang turut dipukul ialah Sofian Salleh, Ahmad Zakaria, Sulaimam Suraimin, Jefly Panda dan Suheimi Remli. Bagaimanapun, tiga mangsa lagi belum dikenalpasti identiti mereka.
Anggota Unit Keselamatan Penjara (UKP), Polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mula memasuki dan mengeledah kem tahanan pada jam 10 pagi kerana mendakwa tahanan mahu merusuh.
Seorang isteri tahanan yang enggan namanya disiarkan berkata, kira-kira 100 anggota UKP, Polis dan FRU terlibat dengan operasi tersebut.
"Sesiapapun tidak dibenarkan memasuki kem tersebut dan pihak berkuasa meningkatkan kawalan di kawasan tersebut," katanya.
Mangsa adalah tahanan yang didakwa terlibat dengan Jemaah Islamiah yang ditangkap polis awal tahun lalu.
Tidak dibenar masuk
Sebelum itu, beliau mendakwa pihak kem menipu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dengan mengatakan tiada apa-apa yang berlaku apabila dihubungi pegawai Suhakam yang ingin mengetahui perkembangan apabila diberitahu berlaku rusuhan di situ.
Bagaimanapun, katanya, selepas itu, pegawai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pergi melawat Kem Tahanan Kamunting, tetapi tidak dibenarkan masuk oleh pihak berkuasa kem.
Pegawai Kem Tahanan Kamunting juga tidak melayan permintaan Suhakam supaya mereka dibenarkan masuk bagi mengetahui kedudukan sebenar terutama mereka yang dipukul.
Beliau berkata, rusuhan berlaku apabila pihak keselamatan Kem Tahanan Kamunting menyerbu dan merampas beberapa peralatan seperti gunting dan pisau yang digunakan oleh tahanan untuk membuat kraftangan.
"Tahanan membuat kraftangan seperti bakul dan raga bagi dijual oleh isteri masing-masing sebagai menambah sumber pendapatan keluarga masing-masing.
"Saya berpendapat kekecohan sengaja dilakukan sedangkan mereka dikatakan sudah mendapat kebenaran dari pihak atasan kem. Adakah membuat kraftangan juga membahayakan keselamatan?" tanyanya.
Beliau ketika dihubungi malaysiakini petang ini berkata semua anggota UKP, FRU dan polis telah meninggal kem tersebut, tetapi tidak ada tahanan yang cedera itu dilihat dibawa keluar.

