PKR: Laporan PBB tentang Anwar tamparan buat Najib
PKR mengalu-alukan pengisytiharan Kumpulan Kerja mengenai Penahanan Arbitrari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WGAD) bahawa bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah mangsa penahanan arbitrari, yang menurut parti itu, merupakan satu tamparan terhadap kredibiliti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.
"Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengalu-alukan pengisytiharan WGAD yang mengiktiraf Anwar Ibrahim sebagai mangsa penahanan arbitrari, atau tahanan politik," kata Ketua AMK Nik Nazmi Nik Ahmad.
Katanya, pengisytiharan itu adalah berdasarkan penilaian kumpulan kerja tersebut yang menurutnya mendapati Anwar telah dipenjarakan setelah melalui satu perbicaraan yang didakwanya tidak adil dan tidak menghormati elemen-elemen asas perundangan.
"Oleh kerana perdana menteri gemar untuk memberikan ceramah kepada masyarakat antarabangsa berkenaan kesederhanaan dan kedaulatan undang-undang, maka pendirian PBB ini telah mencalar kewibawaannya," kata Nik Nazmi.
"Pengiktirafan ini amatlah memalukan, terutamanya untuk perdana menteri dan kerajaan Barisan Nasional," tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan beliau itu berikutan penafian berulangan kerajaan semalam bahawa pemenjaraan Anwar adalah satu konspirasi politik.

