Kerajaan tidak memberikan sebarang emolumen dan elaun kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) Datuk Seri Idris Jala.

Beliau bagaimanapun menerima pakej sama dengan menteri selepas dilantik sebagai penasihat Program Transformasi Negara bertaraf menteri, yang membolehkannya kekal sebagai peneraju PEMANDU.

Sebelum ini, semasa berkhidmat dua penggal sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, emolumen diterima beliau sama seperti menteri lain mengikut jadual sedia ada.

“Malahan, dalam kapasiti belau sebagai ketua eksekutif PEMANDU, beliau tidak menerima sebarang pembayaran mahupun bonus sepanjang perkhidmatan beliau sebagai ketua pegawai eksekutif PEMANDU,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wahid Omar ( gambar ).

Wahid berkata demikian dalam jawapan bertulis di parlimen bagi menjawab soalan Dr Ong Kian Ming (DAP-Serdang) yang mahu tahu tempoh kontrak, gaji dan bonus Idris sebagai peneraju PEMANDU.

Idris meneraju PEMANDU sejak 2009.

Pelantikannya sebagai penasihat bertaraf menteri bermula 1 September lalu dengan kontrak tiga tahun.