Mahkamah tidak benarkan soalan mengenai konspirasi Anwar
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini tidak membenarkan peguam bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel, Eric Chia untuk menyoal seorang saksi pendakwa berhubung dakwaan wujudnya konspirasi yang membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini tidak membenarkan peguam bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel, Eric Chia untuk menyoal seorang saksi pendakwa berhubung dakwaan wujudnya konspirasi yang membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hakim Akhtar Tahir memberitahu peguam Muhammad Shafee Abdullah bahawa soalan-soalan berhubung dakwaan wujudnya konspirasi untuk menyingkirkan Chia daripada Perwaja adalah 'tidak releven" dalam tuduhan pecah amanah terhadapnya.
"Peranan Anwar (dalam dakwaan konspirasi itu) tidak releven. Saya tidak membenarkan soalan mengenainya," kata hakim tersebut selepas mendengar hujah daripada pihak pendakwa dan pembela mengenai perkara tersebut.
Chia didakwa dengan curang meluluskan pembayaran RM76.4 juta ke akaun Frilsham Enterprise Incorporated di American Express Bank Ltd., Hong Kong, bagi bantuan teknikal untuk projek `Beam dan Section Mill Plant' di Gurun sedangkan tiada bayaran seperti itu yang patut dibuat kepada NKK Corporation.
Secara alternatif, dia dituduh dengan curang melupuskan dana itu dengan memeterai satu perjanjian bersama NKK Corporation dan meluluskan bayaran jumlah itu tanpa kelulusan lembaga pengarah atau jawatankuasa tender Perwaja Rolling Mill Development Sdn. Bhd.
Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu dalam bidang kuasanya sebagai Pengarah Urusan Perwaja Rolling Mill Sdn. Bhd., di pejabatnya di Menara UBN, Jalan P. Ramlee di sini antara 4 November 1993 dan 22 Februari 1994.
Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara.
Syafee menimbulkan dakwaan wujudnya konspirasi tersebut ketika menyoalsiasat saksi pendakwa, Zubir Embong, yang juga bekas pengarah Perwaja.
Ketika menjawab soalan itu, Zubir berkata beliau tidak tahu yang Chia bermasalah dengan Anwar, yang merupakan Menteri Kewangan ketika itu.
"Adakah anda tahu bahawa tertuduh telah mengadu kepada Perdana Menteri ((Dr Mahathir Mohamad) bahawa Anwar sengaja menimbulkan masalah dalam pentadbiran Perwaja?" tanya Shafee.
Bagaimanapun, sebelum Zubir empat menjawab, pendakwaraya Mohd Yusof Zainal Abiden membantah sambil mengatakan soalan tersebut tidak releven dengan tuduhan terhadap Chia.
"Isu utama dalam kes ini ialah sama ada RM76.4 juta dibayar kepada syarikat Jepun yang dibuat dengan atau tanpa persetujuan lembaga pengarah Perwaja. Sama ada atau tidak wujudnya percubaan untuk menyingkirkan Chia dari syarikat tersebut, tidak penting dalam isu utama itu," katanya.
Dokumen syarikat
Shafee pula berhujah bahawa soalan tersebut hendaklah dibenar dikemukakan kepada saksi kerana pihak pembela mahu menunjukkan bahawa dakwaan salah pentadbiran itu berpunca daripada pelbagai kenyataan Anwar di Parlimen.
"Pihak pembela mahu menunjukkan bahawa terdapat perancangan oleh orang-orang tertentu untuk menyingkirkan tertuduh daripada syarikat bagi membolehkan sebuah syarikat lain mengambil alih Perwaja," katanya.
Katanya, pihak pembela akan mengemukakan dokumen-dokumen syarikat untuk menunjukkan bahawa bayaran RM76.4 juta itu dibuat dengan pengetahuan penuh Menteri Kewangan.
Oleh itu, katanya, tuduhan bahawa pembayaran itu dibuat tanpa kelulusan, dibuat bertujuan untuk menjejaskan kredibiliti tertuduh.
Bagaimanapun, hujah Shafee itu ditolak oleh pihak mahkamah.
Shafee kemudiannya bertanya saksi tersebut sama ada beliau tahu yang Anwar telah mengarahkan Perwaja dijual kepada syarikat RM2 yang merupakan anak syarikat kepada MRCB (Malaysian Resources Corporation Bhd).
Bagaimanapun, hakim mengingatkan Shafee bahawa beliau tidak membenar soalan itu dikemukakan kapada saksi, selepas dibantah oleh pihak pendakwa.
Perbicaraan bersambung esok.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.