PAS yang berang dengan tuduhan berterusan Barisan Nasional (BN) berhubung pemerintahan parti pembangkang itu di Terengganu sebelum ini, mahu BN mengambil tindakan mahkamah terhadapnya bagi membuktikan sama ada tuduhan itu betul atau tidak.

Naib Presiden PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, bagi PAS, tuduhan dan serangan yang dibuat oleh BN Terengganu itu tidak lain hanyalah untuk menghakiskan keyakinan rakyat kepada PAS, khususnya di Terengganu.

Oleh itu, beliau mencabar BN supaya membawa PAS ke mahkamah jika mempunyai bukti bahawa pemerintahannya di Terengganu selama lima tahun mulai 1999 penuh dengan kesalahan.

BN Terengganu katanya, tidak guna menuduh PAS dalam media kerana ia tidak ada kesudahan dan "kami tidak boleh menjawab kerana PAS tiada media".

"Jalan paling mudah ialah membawa PAS ke mahkamah, biar mahkamah yang tentukan sama ada PAS salah atau tidak," katanya mengulas dakwaan beberapa pemimpin Umno Terengganu bahawa banyak penyelewengan yang parti itu lakukan semasa memerintah Terengganu selepas pilihanraya umum 1999.

Baru-baru ini, Umno Terengganu mendakwa Kerajaan PAS Terengganu membahagikan tanah kepada rakyat secara tidak sah dan penyalahgunaan wang zakat dengan memberinya kepada kader-kader PAS.

Berikutan itu kerajaan negeri mengisytiharkan pembahagian tanah oleh kerajaan PAS itu sebagai tidak sah dan akan membuat penyiasatan ke atas penyelewengan wang zakat tersebut.

Lihat kesalahan sendiri

Mustafa berkata, apa yang nampak di mata pemimpin Umno Terengganu ialah kesalahan yang dilakukan oleh PAS semasa memerintah Terengganu selama lima tahun itu.

Sedangkan kata beliau lagi, kerajaan Umno Terengganu yang baru berusia enam bulan telah membahagikan begitu banyak tanah kepada penyokongnya.

"Mereka hanya nampak kesalahan orang sedangkan kesalahan sendiri dibiarkan. Apakah ini sikap kerajaan yang baik?" katanya lagi.

Bagaimanapun, kata Mustafa, rakyat Terengganu akan menilai sendiri kemampuan kerajaan Umno Terengganu sama mereka lebih baik daripada semasa rakyat berada di bawah pemerintahan PAS.

Tambahnya lagi, katanya, sehingga hari ini kerajaan negeri belum membuat sebarang dasar baru pentadbiran walaupun dalam pilihanraya umum lalu mereka menjanjikan pelbagai kemajuan dan pembangunan.

"Kerajaan negeri hanya meneruskan dasar yang pernah dibuat dan diamalkan oleh pemerintahan PAS dahulu. Bilakah dasar baru BN akan muncul?" tanya beliau lagi.